Isnin, 25 Ogos 2008

Cendera di mata atau di hati?

Duit syiling 20 pence yang dikeluarkan pada tahun 1961 , hadiah Pak Ngah yang menetap di England, satu-satu pemberiannya yang saya simpan baik sebelum dia pergi mengadapNya. Cincin berbatu biru juga cincin arwah emak, juga disimpan dengan elok dan terbungkus kemas. Arwah bapa pula memberikan loket jed, walaupun sudah retak tetapi amat berharga buat diri saya.
Saya masih lagi menyimpan banyak barang ketika saya di zaman remaja. Semuanya sayang untuk dibuang. Tentunya setiap barang ini mempunyai memori yang tersendiri, iaitu zaman saya mengenal diri dan dunia sekitar. Antaranya sepit rambut bunga yang dipakai ketika keluar dengan rakan-rakan sempena deepavali, cincin berbatu ungu yang saya beli dengan harga RM2.00, gelang berukir pemberian sahabat, loket gading yang masih lagi berseri dan tidak pernah dipakai. Semuanya disimpan baik di dalam kotak yang disalut dengan kain. Agaknya sudah hampir 30 tahun saya menyimpan barang-barang ini. Namun yang paling berharga buat saya ialah seutas rantai pemberian salah seorang rakan. Walaupun sudah agak pudar warnanya, dan sesekali terputus, dan saya beberapa kali pula menyambungnya kembali, membungkusnya dengan kapas dan memasukkannya ke dalam dompet kain yang ditenun khas, saya masih menyimpannya dengan baik. Mengapa rantai ini begitu istimewa? Saya hanya boleh merasai kerinduan zaman remaja dan persekolahan dengan memegang dan melihat rantai ini. Banyak kisah yang tersembunyi di sebaliknya dan banyak juga kisah lucu bersama rakan-rakan yang tidak dapat saya lupakan. Saya selalu berulang ke dunia itu hanya melalui rantai ini. Itulah sebab ia sangat istimewa di hati saya.
Suatu hari, tiba-tiba, seseorang yang memberikan rantai ini menelefon. Walaupun sudah bertahun-tahun tidak berjumpa atau berhubung, saya masih dapat mengenali suaranya. Setelah puas bercerita, saya memberitahunya yang saya masih lagi menyimpan rantai pemberiannya walaupun rantai itu sudah kusam dan lusuh, tanda saya menghargai pemberiannya.
"Kamu memang suka simpan barang buruk, ya," katanya setelah mendengar celoteh saya.
Blink! Blink!
Ouch. Eeeueewwww.

Ahad, 3 Ogos 2008

Nama Oh Nama....

Manusia dilahirkan dengan nama. Ada dalam kalangan rakan saya yang menamakan anak mereka dengan nama ringkas seperti Dani, Faizal, Sara. Malah ada juga yang menamakan anak mereka dengan nama yang panjang seperti Adriana Fazirah Hanim, Mohd Khairuddin Akmal dan macam-macam lagi. Tetapi ada juga rakan-rakan saya yang mempunyai nama lain daripada nama di kad pengenalan mereka, atau ada nama panggilan di rumah, misalannya Faikha dipanggil Zan di rumah atau Padilah dipanggil dengan nama Kam oleh ahli keluarganya.
Saya tidak terkecuali. Sungguhpun nama di kad pengenalan saya ialah Zaiton, tetapi panggilan keluarga saya ialah Mariah.
Cara saya mendapat dua nama ini sungguh lucu. Semuanya gara-gara datuk saya yang terlupa ketika mendaftarkan nama saya di pejabat kelahiran.
Sebenarnya semuanya berpunca daripada keluarga saya yang mempunyai kelaziman yang tersendiri. Abah akan menghantar emak balik ke kampung sebaik sahaja kandungan emak mencecah lapan bulan. Mungkin abah lebih rasa selamat jika emak dijaga sendiri oleh ibunya memandangkan tugas abah sebagai polis tidak dapat menjaganya sepenuh masa. Saya anak ketujuh yang dihantar ke kampung.
Sebelum balik, abah berpesan kepada datuk supaya menamakan saya Mariah (saya pula tidak sempat bertanya nama yang diberikan abah jika saya lelaki kerana semua watak penting kisah ini telah lama meninggal dunia) . Tetapi datuk tidak dapat mengingatinya dan menamakan saya sempena nama anak kepada sepupunya di kampung.
Lebih lucu lagi, datuk menyimpan surat pendaftaran kelahiran dan tidak memberitahu ibu nama saya. Dan kisah itu dilupakan setelah ibu dijemput abah setelah habis pantang balik ke tempat beliau bertugas.
Cerita tentang nama ini hanya timbul semula ketika abah mendaftar saya di sekolah, tujuh tahun berikutnya. Saya masih tidak mengetahui nama sebenar saya sehingga nama saya dipanggil oleh guru berulangkali. Pastinya saya tidak menyahut panggilan itu sehingga ditegur oleh guru. Itu pun setelah satu kelas mentertawakan saya.
Saya masih boleh menyahut dua panggilan itu dengan baik. Panggilan ini membezakan pemanggilnya, sama ada di dalam majlis rasmi atau ketika bersama keluarga.

Ahad, 27 Julai 2008

Permulaan sebuah kisah (2)

Saya seperti seorang murid yang menanti hukuman daripada gurunya. Dia mundar mandir di hadapan saya, seolah-olah mencari-mencari perkataan untuk diluahkan. Cermin matanya melurut di tengah-tengah batang hidungnya tetapi matanya memandang tepat kepada saya. Saya telah bersedia untuk menghadapinya tanpa memikirkan apa-apa yang serius bakal berlaku. Apatah lagi, ia cuma ketulan lemak. Rasa perit jahitan 4 sm pembedahan sekali sekala mencucuk di belakang.
"Keputusan penuh belum saya terima dari makmal. Tetapi saya sudah berbincang dengan dr di makmal."
Keadaan sunyi seketika. Tangannya diletakkan di belakang. Dr Hanis masih teragak-agak untuk menyambung ceritanya. Saya diam menanti. Sabar dan sedikit resah.
"Isi lemak itu ada mengandungi benda lain. Ada unsur-unsur kanser." Dia merenung saya, mungkin untuk melihat reaksi selanjutnya. Saya merenungnya semula tanpa merasakan apa-apa ketika itu. Semua rasa bagaikan telah hilang daripada tubuh saya, yang tinggal hanya jiwa dan fikiran yang kosong.
"Apa yang perlu saya buat selepas ini?" Anehnya itu sahaja yang terkeluar dari mulut ketika itu.
"Saya akan merujuk kes puan kepada pakar kanser, kita jumpa rabu nanti," jelasnya sebelum melangkah keluar.
Kesepian berseorangan di atas katil membuatkan saya lebih tenang. Tapi saya masih tidak dapat membayangkan bahawa ada kanser yang mula bersarang di dalam badan saya. Tidak pernah juga terlintas di fikiran bahawa pada suatu hari, saya akan menjadi pesakit kanser.
Saya berkira-kira untuk memberitahu seseorang tentang berita ini. Buruk atau tidak, perlu diberitahu. Tetapi siapakah agaknya. Suami? Saya lebih suka memberitahunya secara berdepan.
Nombor telefon ditekan dan menyambung ke seorang sahabat baik di pejabat. Dia akan menjadi orang pertama.
"Keputusan pebedahan dah dapat, dr baru beritahu aku tadi," saya memberitahunya. Dia menanti di hujung sana. "Aku ada kanser," sambung saya dengan perlahan. Ketika itu rasa sebak mula muncul dan menyelubungi diri. Perasaan dan kekuatan rasa datang semula, walau pun perlahan.
Dan di hujung talian itu juga saya terdengar sebuah esakkan. Sahabat, terima kasih kerana berkongsi rasa ini.

Isnin, 21 Julai 2008

Doa kita bersama-sama.....

YA ALLAH,
SESUNGGUHNYA KAMI BERLINDUNG DENGANMU
DARIPADA AZAB NERAKA JAHANAM,
DARIPADA AZAB KUBUR,
DARIPADA FITNAH SEMASA HIDUP,
FITNAH SEMASA MATI,
DAN FITNAH AL-MASIH DAJAL.
(RIWAYAT AL-BUKHARI DAN MUSLIM)

Jumaat, 18 Julai 2008

Anehnya Cinta

Ada seorang kawan bertanya kepada saya adakah cinta itu buta? Saya menjawab ya dan tidak. Yang butanya manusia dan bukan perasaan itu. Saya pasti anda tidak akan mempunyai sebarang alasan yang kukuh apabila anda mencintai seseorang. Anda sukakan rambutnya, matanya atau perangainya? Itu bukan cinta tetapi lebih kepada perasaan sukakan personalitinya. Memang anda tidak akan ada alasan mengapa anda mencintai seseorang itu sampai bila-bila pun.
Anda sudah mencintai seseorang apabila anda merasakan bara kehadirannya dengan jiwa. Cinta itu telah terlebih dahulu berada di dalam hati. Anda tidak dapat menolak perasaan itu keluar atau menghindarinya sama sekali.
Sebab itu anda akan menerimanya seadanya, tanpa banyak mempersoalkan rupanya, latarnya atau perangainya yang jelek. Malah anda akan berasa bahagia dengan kejelekannya. Cinta itu memang aneh.

lembayung atma: Permulaan sebuah kisah....

lembayung atma: Permulaan sebuah kisah....
lymphoma.cancer.gov

Permulaan sebuah kisah....

Bermulanya cuma sebesar bekas gigitan nyamuk di belakang saya, sedikit atas dari pinggang di sebelah kanan. Saya menganggap sedikit benjol itu akan hilang dalam masa sehari dua, namun ia kekal di situ. Aneh, fikir saya. Tiga minggu berlalu, benjolan semakin membesar menjadi sebesar sebiji guli. Saya masih tidak mempedulikannya. Ketika minggu kelima, saya mula berasa kurang selesa apabila ia menganggu ikatan kain di pinggang atau ketika duduk bersandar.
"Biasanya ketulan lemak, selalu berlaku dalam kalangan usia 40 tahun ke atas," jelas Dr Nasir, doktor keluarga yang serasi dengan anak-anak sejak mereka kecil. "3sm X 3 sm," katanya lagi selesai mengukur besar benjolan itu.
Saya mahukan pendapatnya, "Terpulang. Kalau tak selesa dan menganggu lebih baik dibuang." katanya. "Seandainya demam atau rasa sakit, wajib dibuat rawatan lanjut." Saya tidak demam dan ketulan itu tidak juga menyakitkan, jadi sekali lagi saya membiarkannya.
"Buang," kata kawan baik saya yang bertugas sebagai doktor di hospital swasta di Ampang. Itu jawabnya apabila ditanya. Jadi apabila benjolan semakin membesar dalam minggu ketujuh, dan sebiji lagi sebesar gigitan nyamuk tumbuh di sebelah benjolan lama, saya segera mendapatkan rawatan dari hospital swasta di Subang Jaya.
Saya tidak ada pilihan lain lagi apabila doktor mencadangan supaya ketulan dibuang. Ketika diminta datang empat hari selepas itu untuk pembedahan, saya mula berbelah bagi. Amboi, cepatnya daging saya mahu dilapah, getus saya. Dr Anis Ahmad akan melakukannya. Sehari suntuk saya bertemu dua orang doktor, membuat x-ray dan membayar lebih RM 500 untuk semua itu.
"Mahalnya," sungut saya. Namun hati tidak lagi tenang ketika memikirkan tarikh pembedahan. Saya mula risau dan gangguan di fikiran mula menghimpit malam-malam yang panjang dan menjadikan tidur saya tidak lagi lena.

Selasa, 17 Jun 2008

Salam perkenalan

Saya bercita-cita untuk menjadi pelukis sejak kecil kerana saya memang gemar menconteng. Di sekolah rendah misalnya, separuh daripada buku tulis menjadi mangsa contengan saya. Di dalam kelas lukisan, hasil kerja saya biasanya terpilih untuk dipamerkan di ruang khas hasil pelajar. Tetapi saya beralih tumpuan untuk menjadi tukang masak ketika mengikuti kelas sains rumah tangga. Masakan saya walaupun tidak seperti cef tetapi saya seronok mencuba pelbagai jenis masakan dan kuih. Kegilaan ini tidak lama kerana saya mula jemu dan bertukar arah untuk menjadi penulis. Kertas bahasa dan sastera saya mendapat markah tertinggi di tingkatan dan saya gemar menulis apa-apa sahaja terutamanya mencipta sajak. Sajak-sajak saya ada tercatat dalam buku khas yang kemudiannya hilang ketika keluarga berpindah- randah. Tetapi impian itu juga diketepikan sekali lagi apabila saya mula bertugas sebagai editor, yang semakin memendekkan masa saya untuk memberikan tumpuan dalam kegiatan penulisan. Apabila blog dicipta, saya mendapati peluang dan semangat untuk menulis terbuka semula. Hal inilah yang mendorong saya menulis walaupun sekadar catatan pendek saya sebagai pesakit kanser.

love

love

love

love