Memaparkan catatan dengan label pandangan kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pandangan kehidupan. Papar semua catatan

Jumaat, 4 September 2009

Jadilah manusia hebat.

Saya teringatkan kata novelis F.Scott Fitzgerald, "you dont write because you want to say something, but you write because you've got something to say".
Kadang-kadang kata-kata itu boleh menghiris jiwa seseorang. Blog digunakan untuk perbincangan, sembang-sembang bertukar-tukar fikiran, menghasilkan penulisan yang serius dan bermakna. Tetapi jika blog digunakan untuk mengaibkan orang lain, mereka-reka cerita yang tidak benar apatah lagi membuka pekong saudara seislam, membuat tuduhan palsu terutamanya dilakukan di dalam bulan mulia ini, tunggu sahajalah balasan dariNya.
Kehebatan seseorang bukan dilihat berdasarkan kata-katanya yang membunuh jiwa dan semangat orang lain, menjatuhkan maruah atau menjadikan orang gundah. Jadilah manusia hebat dengan menghasilkan pemikiran yang juga hebat.
Kata Confucius, "what the superior man seeks is in himself: what the small man seeks is in others."

Isnin, 31 Ogos 2009

Merdeka

Kemerdekaan bermakna bebas. Kebebasan bukan setakat lepas daripada genggaman penjajahan sahaja. Kebebasan dan kemerdekaan membawa makna yang lebih mendalam dan maksud yang tersendiri.
Apabila minda anda bebas daripada penjajah, hati anda bebas daripada tekanan dan cengkaman dan hidup anda tidak lagi dikongkong oleh sesuatu, maka anda bebas.
Tetapi kebebasan itu perlulah juga disandari dengan keimanan dan takutkan Tuhan.
Anda rasa bebas? Berhati-hatilah dengan kebebasan itu.
Selamat Hari Merdeka!

Rabu, 8 Oktober 2008

Keliru

Memang anak-anak remaja hari ini mengelirukan ibu bapa. Teori yang mengatakan remaja sentiasa keliru memang sudah boleh ditolak ke tepi. Saya mempunyai lima anak remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun. Tahun lepas, kami memberi wang kepada empat anak lelaki kami, agar mereka boleh memilih sendiri baju, seluar dan kasut mengikut cita rasa mereka sempena hari raya. Kami lepaskan mereka membeli belah di pusat membeli belah berhampiran rumah sendirian.
Saya mengharapkan mereka dapat membeli baju yang sesuai untuk hari raya, disamping mengelakkan saya pening ketika memilih baju mereka. Selain itu, kami ingin menyemaikan semangat berdikari dan cekap menggunakan wang yang diberikan ketika membeli-belah. Saya tersilap jangkaan rupa-rupanya. Saya terkejut apabila mereka menunjukkan seluar jeans yang koyak-rabak dan memilih warna baju yang menyebabkan terjojol biji mata untuk hari raya. Mengikut fesyen, kata mereka. Saya yang mula naik angin, membebel tentang logik dan sopan anak muda yang menziarahi ibu dan bapa saudara, kaum keluarga di kampung dengan jeans rabak dan baju tanpa lengan dengan warna yang garang?
Tahun ini, sekali lagi, kami melakukan ujian kedua iaitu membenarkan mereka memilih sendiri baju dan kasut raya dengan pesanan, tanpa jeans rabak. Mereka akur dan hasilnya ke empat-empat mereka membeli baju dan seluar berwarna hitam. Dan fesyen seluar tahun ini ada kelainannya, bertali-tali, berbutang dan berkocek sana-sini. Saya menganggap mereka memang tidak ada cita rasa langsung walaupun terpaksa akur dengan pilihan mereka.
Tahun ini juga saya naik angin satu badan lagi apabila satu-satunya anak perempuan saya yang baru berusia 13 tahun lebih rela membeli kemeja t Manchester United daripada sepasang baju kurung sempena hari raya.
Kali ini saya memang benar-benar keliru.

Jumaat, 18 Julai 2008

Anehnya Cinta

Ada seorang kawan bertanya kepada saya adakah cinta itu buta? Saya menjawab ya dan tidak. Yang butanya manusia dan bukan perasaan itu. Saya pasti anda tidak akan mempunyai sebarang alasan yang kukuh apabila anda mencintai seseorang. Anda sukakan rambutnya, matanya atau perangainya? Itu bukan cinta tetapi lebih kepada perasaan sukakan personalitinya. Memang anda tidak akan ada alasan mengapa anda mencintai seseorang itu sampai bila-bila pun.
Anda sudah mencintai seseorang apabila anda merasakan bara kehadirannya dengan jiwa. Cinta itu telah terlebih dahulu berada di dalam hati. Anda tidak dapat menolak perasaan itu keluar atau menghindarinya sama sekali.
Sebab itu anda akan menerimanya seadanya, tanpa banyak mempersoalkan rupanya, latarnya atau perangainya yang jelek. Malah anda akan berasa bahagia dengan kejelekannya. Cinta itu memang aneh.

love

love

love

love