Rabu, 30 September 2009

Teratai yang indah



Di pagi yang indah,
Menyaksikan teratai di kolam yang merah,
Hati tiba-tiba menjadi cerah,
Jiwa semakin meriah,
Terima kasih kepada yang menjadikannya
terserlah.

Jumaat, 25 September 2009

Syyhhhhhh.........

Kolam yang dipenuhi teratai

Memancing perlukan suasana yang senyap(atas). Ikan talapia merah, tangkapan pertama saya(kanan)

Ada empat kolam ikan yang dibina oleh sepupu saya di kampung dan letaknya bersebelahan dengan rumah yang kami tumpang buat sementara waktu untuk menyambut raya. Rumah pusaka tidak boleh diduduki lagi kerana sudah beberapa kali dipecahkan oleh pencuri. Jika dibaiki pun, rumah itu akan dimasukki lagi dan akhirnya kami pun redalah dengan keadaan itu. Dan jika dibaiki nanti, tunggulah sehingga abang ipar dan kakak saya menetap di kampung setelah bersara. Khabar gembira, mereka akan balik kampung akhir tahun nanti.

Oleh sebab kolam ada di depan mata, saya tidak melepaskan peluang untuk memancing. Memancing memang perlukan banyak kesabaran. Kesibukan hari raya dpenuhi dengan kegiatan memancing iaitu pada hari terakhir puasa, petang raya pertama dan pagi raya ketiga. Mula-mula dapatlah beberapa ekor talapia merah dan puyu. Tetapi akibat ramai pula yang riuh berkerumun, ikan mula lari dan sukar untuk diperolehi.

Raya kali ini memang menyeronokkan kerana suasana kampung yang berbeza daripada bandar. Sekurang-kurangnya saya dapat membalas dendam kerana tidak dapat menarik seekor sotong pun tempoh hari di Terengganu. Saya dapat tiga ekor talapia yang besar, tiga kecil (dilepaskan semula sebab kasihan) dan lima ekor puyu (juga dilepaskan sebab aksyen kerana dapat ikan talapia yang besar).Baharulah saya tahu, rupa-rupanya saya suka memancing...tetapi beramai-ramailah dalam suasana yang senyap.....syyyhhhhhhh......
Anak-anak dan sepupu mereka ..

Isnin, 14 September 2009

Akal dan hati


Kalau diikutkan hati, mati. Kalau diikutkan akal, musnah segalanya. Hati dan akal berperanan untuk saling imbang mengimbangi. Hati, jika terpengaruh dengan rasa dan nafsu, boleh menjadikan manusia tidak berperasaan atau dungu. Tetapi jika ada akal untuk mengimbangi, nafsu dan perasaan yang jahat boleh dihindari atau sekurang-kurangnya menjadi lebih berbudi.
Tetapi akal juga memerlukan hati untuk menjadi lebih berperikemanusiaan. Apabila akal berfikir untuk bertindak melakukan sesuatu, hati akan mengimbangi supaya boleh menjadi manusia yang lebih berperasaan dan tidak menjadi kejam.
Jagalah akal dan hati agar menjadi manusia yang lebih beradab dan mampu berfikir dengan lebih bertamadun. Perbuatan adalah hasil yang terpancar daripada akal dan hati.
Manusia mempunyai maruah. Oleh itu jagalah maruah tersebut dengan menggunakan akal dan hati yang telah dikurniakan oleh Allah swt.

Jumaat, 4 September 2009

Jadilah manusia hebat.

Saya teringatkan kata novelis F.Scott Fitzgerald, "you dont write because you want to say something, but you write because you've got something to say".
Kadang-kadang kata-kata itu boleh menghiris jiwa seseorang. Blog digunakan untuk perbincangan, sembang-sembang bertukar-tukar fikiran, menghasilkan penulisan yang serius dan bermakna. Tetapi jika blog digunakan untuk mengaibkan orang lain, mereka-reka cerita yang tidak benar apatah lagi membuka pekong saudara seislam, membuat tuduhan palsu terutamanya dilakukan di dalam bulan mulia ini, tunggu sahajalah balasan dariNya.
Kehebatan seseorang bukan dilihat berdasarkan kata-katanya yang membunuh jiwa dan semangat orang lain, menjatuhkan maruah atau menjadikan orang gundah. Jadilah manusia hebat dengan menghasilkan pemikiran yang juga hebat.
Kata Confucius, "what the superior man seeks is in himself: what the small man seeks is in others."

Selasa, 1 September 2009

Suatu pagi...

Titis-titis hujan mengetuk ringan tingkap kaca di tingkat 20 pada pagi yang basah ini. Saya menjenguk keluar dan melihat jalan-jalan nun di bawah sana digenangi air. Matahari bersembunyi di sebalik mendung awan dan sinarnya agak redup pada pagi ini. Pokok-pokok kelihatan segar dan seolah-olah berdiri lurus menanti hujan turun lagi bagi mencuci segala kekotoran yang terlekat pada daun-daunnya.
Burung-burung yang biasanya berterbangan dan berbunyi riuh hilang daripada pandangan. Mungkinkah mereka masih lagi berlindung daripada kesejukan ini atau masih lagi berada di sarang, enggan keluar untuk membasahi sayap mereka?
Alam hari ini tidaklah ceria seperti selalu. Tetapi keadaan sekali-sekala ini jarang dapat dinikmati setelah bumi ini sekian lama dilanda panas kering.
Saya bahagia melihat air hujan melekat di kaca tingkap, kemudian berkumpul lalu mengalir deras ke bawah. Saya lebih rasa teruja memerhati titik-titik hujan yang baru melekap di dinding kaca tingkap itu dan kemudian bercantum semula sebelum hilang turun ke tanah.
Satu hari yang basah tetapi redup hening dan aman. Hati saya kini lebih tenang dan tenteram dalam mengharungi usia yang semakin meningkat.

love

love

love

love