Ahad, 30 Januari 2011

Sahabat

Sahabat itu unik. Dia akan menerima kita seadanya, tanpa prejudis. Dia juga tidak memandang keburukan kita dan tidak menjadikannya hal utama. Jika menegur dia benar dan jika marah dia beralah.
Susah mahu mencari sahabat sejati yang benar-benar menyukai kita sehingga akhir, menyokong dan membantu kita dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Sahabat sejati bagai cahaya yang menyuluh kita tatkala gelap dan membimbing kita ke jalan benar.
Terima kasih, sahabat.

Jumaat, 28 Januari 2011

Jumaat, 14 Januari 2011

Sukar

Sukar juga untuk meluahkannya, sesukar kata yang mahu dilafazkan. Semuanya terasa tersekat-sekat. Kadang-kadang tidak mahu juga menjelaskan tetapi apabila didesak dan ditolak-tolak, terpaksalah juga menjawabnya. Perlukah itu semua?
Menulis hanya untuk mencurahkan aliran fikiran dan gelojak hati, ke dalam bahasa kreatif. Hanya inilah caranya untuk melega jiwa, melapang minda. Alunannya mudah, memasukkan emosi dan kreativiti sehingga menjadi sesuatu yang boleh dinikmati. Rasa teruja hanya apabila ada orang membacanya dengan suka.
Payahkah untuk dimengerti. Segala tulisan tidaklah bermakna kejadian diri sendiri. Itu hanyalah curahan rasa bercampur kreativiti, meluas makna dan mengangkat bahasa diri.
Kadang-kadang deria rasa, sentuh, pandang dan kata boleh bergabung menjadi satu hasil peribadi, bukanlah cerita yang berkaitan diri. Hapuskanlah prasangka itu. Amat tidak baik dan mampu menyekat perkembangan karyaku. Beratnya boleh menghilangkan kesukaan, sindiran boleh melarakan hati. Cubalah untuk lebih memahami.

Selasa, 4 Januari 2011

Ruang

Ruang-ruang ini perlu diisi kerana kekosongannya memang membosankan. Kadang-kadang kehabisan idea adalah punca utama ketiadaan isi. Atau tidak ada pencetus idea yang boleh menjentik minda, dan bebanan tugas yang bertambah menghentikan perjalanan kreativiti. Ah, itu cuma alasan kosong. Penulis yang baik akan terus menulis dalam apa-apa bentuk keadaan, hatta dalam perang sekalipun.
Tahun ini genap 25 tahun bertugas di sini. Banyak yang dipelajari dan pengalaman ini sudah memadai untuk menghasilkan sesuatu. Tetapi mengapa masih mencari-cari pengisian diri untuk itu?
Saya sudah penat agaknya. Penat dengan dunia manusia yang terlalu banyak kerenahnya. Lelah ini ada kalanya sudah sampai tahap yang menyebabkan pernafasan ini kadangkala rasa seperti tersekat. Tetapi hidup ini perlu juga diteruskan.
Jumaat ini, saya akan mengulangi rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kuatkan hati dan banyakkan doa agar apa-apa yang dialami tidak berulang semula. Walaupun rasa gerun masih ada setiap kali melangkah masuk ke klinik hemotologi, saya perlu sihat untuk terus hidup. Semoga hati saya akan lebih kuat selepas ini.

love

love

love

love