Selasa, 28 Julai 2009

Sasterawan Negara Datuk Shahnon







Kami mendengar keuzurannya di Kuala Lumpur. Ketika di Pulau Pinang, saya tidak melepaskan kesempatan untuk melawat tokoh besar dan ternama dalam dunia kesusasteraan negara.

Beliau dan keluarganya menyambut kedatangan kami dengan mesra. Sungguhpun uzur, beliau mengagahi bangun untuk berbual-bual dengan kami. Pendengarannya tidak begitu baik tetapi ingatannya masih seperti dahulu. "Saya mungkin tidak dapat menulis lagi sebab tangan ini tidak kuat lagi untuk menaip di komputer," katanya.
Sumbangannya begitu banyak di Dewan Sastera dan saban bulan tulisannya memang saya tunggu kerana cukup bernas dan menarik.
Gambar-gambar ini saya rakam untuk anda. Selain pegawai-pegawai dari DBP, termasuk Pengarah Sastera Puan Izzah, beberapa penulis seperti Saleeh Rahmat, Nisah Haron, pensyarah USM danUPSI turut ada.
Saya mendoakan semoga Allah SWT melindunginya agar sejahtera dan sentiasa sihat.



Jerebu






Salam,

Asap, karbon dioksid, debu-debu halus menyebabkan anak-anak dan saya sakit. Batuk tidak berhenti-henti dan demam yang kuat menyebabkan kami terpaksa berulang-kali ke klinik.
Baru-baru ini saya melihat bukti jelas mengapa cuaca di Kuala Lumpur tidak begitu baik dan semakin merosot. Gambar ini saya ambil ketika dalam penerbangan ke Pulau Pinang kerana bertugas pada 24 Julai lalu. Lihat lapisan jerebu tebal yang menutup Kuala Lumpur.
Kebakaran yang meluas juga memburukkan keadaan.
"Minum air banyak-banyak, dan elakkan terlalu kerap keluar rumah," kata doktor. Beliau bimbang dengan wabak yang semakin memburuk dan kematian kedua akibat wabak ini berlaku di kawasan kami.


Ahad, 19 Julai 2009

Kahwin dan kahwin lagi.

Kahwin? Dan kahwin lagi? Hmmm...saya memang teringin sangat nak tahu (kepoh, kata sesetengah orang) mengapa lelaki mengambil keputusan untuk menambah isteri. Maka saya pun mulalah mewawancara beberapa orang yang saya kenal dan telah menambah satu atau dua lagi.

"Bapa saya pun kahwin tiga," katanya. Baginya keadaan itu adalah sesuatu yang normal dalam keluarganya dan setakat ini ibunya tidak ada sebarang masalah dengan madun-madunya. Tetapi bagaimana pun saya pula yang menjadi mangsa kerana selalu terpaksa "menjawab" bagi pihaknya apabila dia selalu tidak ada di pejabat. Dia di mana? Di rumah salah seorang isterinya di rumah atau keluar tanpa pesanan.

"Sebab saya mahu menyelamatkannya," kata kawan saya yang bermata bundar ini. Kali ini saya tidak menyangka yang dia akan menambah isteri lagi kerana orangnya ringkas, pendiam dan tidak "nakal".
"Kalau janda lima anak atau kematian suami memanglah patut diselamatkan, tapi ini gadis,"saya membantah.
"Duduk di KL ni, cik Ton. Seorang diri pula tu. Itulah yang mesti diselamatkan," dia menjawab lagi.
"Yang kamu cari pun bukannya sembarangan tapi yang berkelulusan, ada rumah dan ada kereta. Masuk rumah lap kaki sahaja." saya membidasnya lagi.
" Jodoh, Cik Ton," jawabnya selamba. Saya tidak tahu bagaimana nak menjawab apabila dia memberikan alasan jodoh. Soal qada dan qadar.

"Saya dah suka dan cinta," kata seorang lagi. Cintanya membuatkan dia tak boleh melupakan gadis ini. "Tetapi kasih dan cinta saya pada yang pertama tidak sedikitpun berkurang, malah semakin bertambah-tambah lagi. Ruangan di hati saya sentiasa membesar dan tidak luak sedikitpun." Dia memberi alasan. Dia masih balik ke rumah isteri pertama setiap malam dan tidak ada sistem giliran kerana menganggap isteri pertamanya tidak mengetahui hal ini.

Tetapi lelaki yang keempat ini memberi alasan yang memang pelik.
"Sebab saya gatal," katanya tertawa. Saya memang simpati kepada isteri pertamanya yang baik, isteri keduanya yang sabar dan isteri ketiganya yang menerimanya seadanya.
"Isteri keempat, saya simpati. Dia ada penyakit kronik." jelasnya lagi. Sekurang-kurangnya alasannya untuk bernikah kali ini bolehlah diterima. Akhir-akhir ini saya mendengar khabar dia telah menceraikan ketiga-tiga isterinya kecuali yang keempat. Apakah alasannya pula?

Kali ini, dengar pula cerita sang isteri. Baru-baru ini seorang rakan baik saya mengalami masalah yang sama. Ketika berjumpa dan bercerita, dia tidak berhenti-henti menangis . Rupa-rupanya suaminya, yang telah bersamanya selama 23 tahun, kahwin lagi. Kawan saya yang baik ini bertudung litup, menjalankan perniagaan yang maju, ada anak dan isteri yang taat. Madunya berusia 35 tahun, berambut perang, gemar memakai pakaian yang sangat moden, sendat dan ada kalanya menampakkan pusatnya. Perbezaan mereka macam langit dengan bumi. Kami, rakan-rakannya berfikir, suaminya sudah berubah citarasakah? Saya bersimpati.

Ahad, 12 Julai 2009

Tak ada belajar ke?

Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Malah istilah bahasa Melayu digunakan di seluruh dunia termasuk Singapura, Brunei, China, Indonesia sebagai menunjukkan bahasa ini bernama bahasa Melayu. Sama seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, Bahasa Sepanyol dll, bahasa Melayu dikenali dengan nama Bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia. Bahasa kebangsaan Malaysia adalah bahasa Melayu dari segi undang-undang, istilah, penggunaan harian dan sudah wujud di seluruh kepulauan Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Saya tak faham mengapa ada manusia yang kononnya ingin menjadi hero dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia. Gerun dengan bunyi Melayu itukah atau berprasangka bahasa Melayu itu kepunyaan orang Melayu semata-mata.
Atau tak belajar sejarah dan bahasa setelah lahir di Malaysia. Tak faham-faham lagikah?

Isnin, 6 Julai 2009

Michael Jackson

Saya antara ribuan orang yang menyaksikan persembahan Michael Jackson di KL beberapa tahun yang lalu. Tetapi apabila beliau membuat komen tentang penonton Malaysia adalah yang paling sopan, saya hampir tergelak.
Saya duduk di tengah-tengah padang Stadium Merdeka. Memang persembahannya sangat berkesan dan menarik daripada segi teknik. Tetapi keadaan menjadi kelam kabut apabila penonton mula berdiri di atas kerusi dan sesetengah mereka mula menari-nari dan menyanyi sama. Salah seorang penonton wanita tiba-tiba ditarik ke bawah oleh salah seorang pengawal keselamatan dan dilempang dengan kuat. Keadaan menjadi tegang dan pengawal itu ditolak oleh teman lelaki wanita yang dilempangnya. (Kes ini dibawa ke mahkamah dan tak tahulah apa yang berlaku seterusnya).
Apabila semua penonton di depan saya mula berdiri di atas kerusi, saya pun terpaksalah turut serta. Malangnya saya tidak dapat melihat persembahannya kerana dilindungi oleh mereka yang lebih tinggi. Akhirnya saya hanya dapat menikmati jeritan dan sorakan penonton yang mengatasi muzik dan suara Michael Jackson. Damn it.
Penonton Malaysia paling bersopan?. Ho ho ho
Jika benar beliau kini bertukar menjadi Mikaeel, alfatihah untuknya. Saya meminati lagu "Ben", yang pada mulanya saya sangka ditujukan untuk seorang sahabat tetapi rupa-rupanya sahabat itu adalah seekor tikus. Apa-apa ajelah..

love

love

love

love