Rabu, 8 Oktober 2008

Woi, mana kampung?

Sejak dahulu, rumah kayu yang tersergam milik nenek, diperturunkan kepada Emak dan kemudian kakak, menjadi tumpuan kami adik beradik menyambut raya. Di rumah ini, kami menyaksikan keluarga kami membesar dan orang dewasa pergi meninggalkan kami satu persatu. Tapi tradisi balik kampung tetap tidak ditinggalkan dan rumah ini masih tetap menjadi tumpuan kerana isinya penuh dengan nostalgia.
Cuma tahun ini, kami hanya mampu melihat rumah ini dari luar. Bukan kerana telah dijual atau diambilalih oleh sesiapa tetapi dikoyakrabakkan oleh pencuri.
Awalnya mereka memunggah kain batik milik arwah ibu dan pinggan-mangkuk peninggalan nenek. Habis semua almari dipunggah dan diranapkan. Mereka masuk semula dengan menarik semua wayar elektrik di sekeliling dan di dalam rumah. Walaupun laporan polis telah dibuat, tetapi mereka dengan berani masuk memecah rumah kami lagi.
Hari raya tahun lepas, mujur ada abang ipar yang boleh memasang lampu menggunakan wayar baru. Tapi tahun ini perompak semakin mengganas. Televisyen kami telah lama disapunya. Selepas itu mereka mengopak peti sejuk dan mesin basuh untuk mengeluarkan motornya. Kesemua batang paip dan paip turut dicabut. Dan akhir sekali mereka mengopak fius besar elektrik dan membawanya bersama.
Akibatnya rumah ini tidak boleh dipasang elektrik dan kami yang terpaksa mengalah, dengan rasa sedih meninggalkan rumah ini tanpa dapat berhari raya di dalamnya.
Kalaulah saya terserempak dengan mereka ketika mereka melakukan kerja-kerja terkutuk itu, mahu saja saya laga-lagakan kepala mereka yang tidak berperasaan itu. Memang "mood" raya saya tahun ini tidak ada langsung.

Keliru

Memang anak-anak remaja hari ini mengelirukan ibu bapa. Teori yang mengatakan remaja sentiasa keliru memang sudah boleh ditolak ke tepi. Saya mempunyai lima anak remaja berusia antara 13 hingga 21 tahun. Tahun lepas, kami memberi wang kepada empat anak lelaki kami, agar mereka boleh memilih sendiri baju, seluar dan kasut mengikut cita rasa mereka sempena hari raya. Kami lepaskan mereka membeli belah di pusat membeli belah berhampiran rumah sendirian.
Saya mengharapkan mereka dapat membeli baju yang sesuai untuk hari raya, disamping mengelakkan saya pening ketika memilih baju mereka. Selain itu, kami ingin menyemaikan semangat berdikari dan cekap menggunakan wang yang diberikan ketika membeli-belah. Saya tersilap jangkaan rupa-rupanya. Saya terkejut apabila mereka menunjukkan seluar jeans yang koyak-rabak dan memilih warna baju yang menyebabkan terjojol biji mata untuk hari raya. Mengikut fesyen, kata mereka. Saya yang mula naik angin, membebel tentang logik dan sopan anak muda yang menziarahi ibu dan bapa saudara, kaum keluarga di kampung dengan jeans rabak dan baju tanpa lengan dengan warna yang garang?
Tahun ini, sekali lagi, kami melakukan ujian kedua iaitu membenarkan mereka memilih sendiri baju dan kasut raya dengan pesanan, tanpa jeans rabak. Mereka akur dan hasilnya ke empat-empat mereka membeli baju dan seluar berwarna hitam. Dan fesyen seluar tahun ini ada kelainannya, bertali-tali, berbutang dan berkocek sana-sini. Saya menganggap mereka memang tidak ada cita rasa langsung walaupun terpaksa akur dengan pilihan mereka.
Tahun ini juga saya naik angin satu badan lagi apabila satu-satunya anak perempuan saya yang baru berusia 13 tahun lebih rela membeli kemeja t Manchester United daripada sepasang baju kurung sempena hari raya.
Kali ini saya memang benar-benar keliru.

love

love

love

love