Memaparkan catatan dengan label Sekadar catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekadar catatan. Papar semua catatan

Khamis, 10 Mac 2011

Facebook yang kutinggalkan

Mengapa saya tidak lagi berfacebook? Hari ini saya menerima mesej pendek di telefon bimbit lagi bertanyakan hal ini."Apakah yang berlaku sebenarnya?" Tanya empunya mesej itu. Pertanyaan yang sama juga turut diajukan oleh beberapa rakan saya yang lain sejak beberapa hari lalu. Mereka langsung tidak bertanya sebab saya berhenti berfacebook. Pertanyaan cuma sekitar "apakah yang berlaku." Biarlah saya menjelaskan. Tidak ada apa-apa sebenarnya yang berlaku. Tiba-tiba sahaja saya mahu keluar daripada fb itu. Agaknya, ada orang yang menyayangi saya berdoa agar saya tidak disibukkan dengan fb dan kembali ke dunia nyata.
Alasan keluar saya mudah. Pertama, minda saya sudah lelah membaca kepelbagaian dalam facebook. Saya suka untuk mengetahui hal kawan-kawan, tetapi hal ini sebenarnya memenatkan minda. Ada ketikanya coretan fb menyebabkan saya terkesan sehingga ke petang dan saya "berangin" sehari suntuk. Ya, saya sensitif tetapi "angin" saya tidaklah menjadi "ribut".
Kedua, saya telah menjadi penagih tegar facebook. Perangai buruk yang tidak boleh dijadikan teladan. Contohnya, saya terus berfacebook sebaik terjaga daripada tidur. Kadang-kadang saya akan berfacebook pada tengah malam, sebelum tidur dan mencuri mengintai fb pada setiap masa terluang! Kawan-kawan rapat, anak-anak, adik beradik, suami, dan senarai panjang orang lain yang mengenali saya mula menegur kerana saya kurang berbual dengan mereka kerana asyik menatap iphone.
Ketiga, saya tidak ada displin dan tidak boleh mengawal masa berfacebook. Tunggulah, sehingga saya boleh berdisiplin dan mampu menetapkan masa untuk aktiviti ini, saya akan masuk semula ke ruang sembang ini.
Keempat, saya tidak mahu menyakiti hati sesiapa tanpa sengaja dalam facebook ini. Dan saya juga tidak mahu disakiti oleh orang lain.
Terus terang, saya sangat tenang dan aman ketika ini tanpa facebook. Jika dibandingkan dengan keadaan sebelum ini, saya selalu percaya hidup saya akan kosong tanpa facebook. Tidak benar, saya bahagia tanpa facebook. Amat bahagia. Sungguh.
Lupakanlah usaha untuk memujuk atau mengumpan saya berfacebook buat masa ini.

Selasa, 8 Mac 2011

Hidup tanpa facebook.

Hari kedua tanpa facebook. Rakan-rakan dan saudara-mara mula menghantar sms, menelefon dan bertanya sesama sendiri di fb. Mengapa fb saya tiba-tiba hilang?
Ada dua rasa berlaku di sini selepas itu. Satu, rasa rindu dan kedua, rasa bahagia.
Perasaan rindukan teman-teman di fb sesekali datang, mahu berbual dan bertanya khabar mereka. Keperluan untuk berkomunikasi dengan mereka, seperti selalu sudah menjadi rutin yang sukar dibuang.
Perasaan bahagia muncul kerana perbuatan mengintai rakan-rakan dan saudara-mara di fb, serta menjawab pelbagai reaksi dan soalan para fb tidak ada dalam kegiatan harian lagi. Tidak perlu risau lagi untuk memikirkan apakah reaksi pembaca fb. Saya tidak lagi menjadi penagih yang sentiasa bergantung pada fb.
Hari ini, dengan senang hati ingin menguar-uarkan kepada anak-anak dan anak-anak saudara, janganlah bimbang. Tulislah apa-apa sahaja kerana tidak akan ada lagi mata yang akan sentiasa membaca dan mengikuti fb anda, atau berleter panjang jika tidak berkenan dengan apa-apa yang anda tulis atau lakukan.
Saya juga sedang mengecapi rasa amat bahagia yang tenang kerana tidak lagi menyakiti hati orang secara tidak sengaja dengan tulisan-tulisan di fb dan disakiti oleh seseorang.
Hal yang penting ialah suasana yang lebih bahagia dikecapi kini, di samping lapang fikiran kerana tidak perlu lagi sibuk atau dikerubungi dengan cerita atau masalah orang lain yang berlingkaran dan bersimpang siur di fb. Tidak ada lagi serangan migrain atau sakit kepala datang tiba-tiba.
Saya rasa lebih tenang kini. Lega. Saya sudah ada banyak masa merenung awan, mendengar cicipan burung dan melihat rumput di bumi.

Sabtu, 4 September 2010

Ramadan

Hari ini hari ke 25 umat Islam menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan. Masa sebegitu pantas berlalu, dan sedar tak sedar, kita sudah sampai ke penghujung bulan ini.
Hari raya akan menjelma walaupun hari raya dahulu terasa bagaikan baru saja berlalu. Sedar tak sedar, saya rupa-rupanya sudah setahun tidak pulang ke kampung. Tidak ada sesiapa lagi di sana. Rumah kami kosong dan kerap dimasukki pencuri. Dari luar rumah ini kelihatan sangat uzur dan banyak tempat yang perlu dibaiki. Laman di sekelilingnya sudah ditumbuhi rumput liar dan kelihatan tidak terbela.
Kalaulah mak dan abah masih ada lagi, rumah ini pasti akan terpelihara sentiasa. Pokok-pokok bunga, yang menanti kami datang, memaniskan suasana. Dan yang pastinya saya tidaklah balik ke kampung hanya sekali dalam setahun...

Rabu, 30 Jun 2010

Saputangan

Kawan-kawan lama banyak membangkitkan nostalgia ketika kami belum dewasa. Dia ini istimewa sedikit kerana kami berkawan sejak bayi lagi. Sejak bayi? Ya, kerana keluarga kami tinggal bersebelahan di berek polis, sebuah rumah panjang yang cuma disekat dengan dinding kayu. Saya mengingati hampir setiap orang dan aktiviti yang selalu terjadi di rumah berek ini.

Saya memang ingat padanya tetapi tidak dapat menggambarkan wajahnya yang kini telah dewasa kerana kami tidak pernah berjumpa sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kami berpisah apabila saya dihantar ke rumah nenek sebaik sahaja memasuki darjah satu.

Dia memang baik dan selalunya kami berjalan berpimpin-pimpin tangan, makan bersama-sama dan bermain berdua sepanjang masa. Laman rumah yang dipenuhi pasir itu biasanya menjadi tempat kami membina istana kecil. Kami juga menghadiri pelbagai aktiviti bersama-sama. Kami memang akrab.

Cuma satu peristiwa yang kekal kuat di ingatan ialah apabila pada suatu hari dia menolak saya ke dalam longkang secara tidak sengaja. Akibatnya saya pengsan dan dua benjolan biru muncul di dahi. Akibatnya dia dirotan dengan teruk oleh bapanya dan saya diangkat dari satu rumah ke satu rumah untuk dirawat oleh seluruh penghuni berek yang prihatin.

Entah bagaimana, baru-baru ini saya mendapat nombor telefonnya daripada kakaknya yang terserempak dan mengenali saya di satu majlis perkahwinan.

"Saya, Mariah," kata saya memperkenalkan diri dalam telefon.

Dia diam beberapa saat, cuba mengingatkan sesuatu.

"Mariah kuater polis di JB?" katanya lagi.

"Ya, betul." jawab saya lega.

"Mariah simpan saputangan yang saya beri dahulu?"

"Hah? Saputangan?" Saya betul-betul tidak ingat dan tidak simpan pun apa-apa. Tiba-tiba saya teringat macam pernah sahaja tengok sebuah filem yang serupa ini. Cuma heroinnya lebih baik daripada saya kerana menyimpan saputangan itu sedangkan saya tidak. Kasihan hero saya ketika kecil itu. Pasti dia akan kecewa apabila saya nyatakan saya memang tidak dapat mengingati langsung hal itu....alahai.

Ahad, 6 Disember 2009

Salam

Lama sudah tidak menjenguk ke blog ini. Patutpun sudah berserawang dan tidak terurus. Banyak buah fikiran daripada kawan-kawan blog tidak diikuti dengan begitu lama. Nantilah, saya sedang memikirkan tajuk baharu untuk dicatat di sini. Tugas di pejabat telah mengambil banyak masa dan tenaga saya. Begitu juga dengan hobi baharu saya di facebook. Tunggulah semuanya reda dahulu.

Jumaat, 25 September 2009

Syyhhhhhh.........

Kolam yang dipenuhi teratai

Memancing perlukan suasana yang senyap(atas). Ikan talapia merah, tangkapan pertama saya(kanan)

Ada empat kolam ikan yang dibina oleh sepupu saya di kampung dan letaknya bersebelahan dengan rumah yang kami tumpang buat sementara waktu untuk menyambut raya. Rumah pusaka tidak boleh diduduki lagi kerana sudah beberapa kali dipecahkan oleh pencuri. Jika dibaiki pun, rumah itu akan dimasukki lagi dan akhirnya kami pun redalah dengan keadaan itu. Dan jika dibaiki nanti, tunggulah sehingga abang ipar dan kakak saya menetap di kampung setelah bersara. Khabar gembira, mereka akan balik kampung akhir tahun nanti.

Oleh sebab kolam ada di depan mata, saya tidak melepaskan peluang untuk memancing. Memancing memang perlukan banyak kesabaran. Kesibukan hari raya dpenuhi dengan kegiatan memancing iaitu pada hari terakhir puasa, petang raya pertama dan pagi raya ketiga. Mula-mula dapatlah beberapa ekor talapia merah dan puyu. Tetapi akibat ramai pula yang riuh berkerumun, ikan mula lari dan sukar untuk diperolehi.

Raya kali ini memang menyeronokkan kerana suasana kampung yang berbeza daripada bandar. Sekurang-kurangnya saya dapat membalas dendam kerana tidak dapat menarik seekor sotong pun tempoh hari di Terengganu. Saya dapat tiga ekor talapia yang besar, tiga kecil (dilepaskan semula sebab kasihan) dan lima ekor puyu (juga dilepaskan sebab aksyen kerana dapat ikan talapia yang besar).Baharulah saya tahu, rupa-rupanya saya suka memancing...tetapi beramai-ramailah dalam suasana yang senyap.....syyyhhhhhhh......
Anak-anak dan sepupu mereka ..

Rabu, 19 Ogos 2009

mencandat sotong







Pertama kali saya terlibat dalam kegiatan yang mencabar ini. Mula-mula, saya tidak ada pengalaman langsung tentangnya. Selepas itu saya mabuk laut, terbaring sepanjang 10 jam di dalam bot sambil sebelah tangan memegang tali pancing. Manalah tahu jika umpan saya mengena.



Rupa-rupanya mencandat sotong bukanlah suatu kegiatan yang mudah. Tali pancing perlu sentiasa disentap dan turun naik. Tetapi oleh kerana saya terbaring mabuk, maka saya biarkan sahaja tali pancing itu terjuntai ke dalam laut.



Hasilnya, saya tidak dapat seekor pun sotong pada malam itu. Kumpulan saya mendapat kira-kira 70 ekor. Memang nasib tidak menyebelahi saya langsung. Tidak mengapa, saya akan menunggu musim yang akan datang. Kalaulah saya tidak mabuk laut lagi dan saya datang membawa jala...



Ahad, 12 Julai 2009

Tak ada belajar ke?

Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Malah istilah bahasa Melayu digunakan di seluruh dunia termasuk Singapura, Brunei, China, Indonesia sebagai menunjukkan bahasa ini bernama bahasa Melayu. Sama seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, Bahasa Sepanyol dll, bahasa Melayu dikenali dengan nama Bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia. Bahasa kebangsaan Malaysia adalah bahasa Melayu dari segi undang-undang, istilah, penggunaan harian dan sudah wujud di seluruh kepulauan Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Saya tak faham mengapa ada manusia yang kononnya ingin menjadi hero dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia. Gerun dengan bunyi Melayu itukah atau berprasangka bahasa Melayu itu kepunyaan orang Melayu semata-mata.
Atau tak belajar sejarah dan bahasa setelah lahir di Malaysia. Tak faham-faham lagikah?

Isnin, 22 Jun 2009

Semuanya serupa

Anak-anak baharu sahaja balik dari masjid, menghadiri solat Jumaat. Kali ini tempatnya berlainan. Masjidnya juga berbeza daripada tempat biasa. Suasana dan jemaah juga tidak seperti yang lazim.
Riuh rendah mereka bercerita, sambil mengelap peluh akibat cuaca yang panas.
"Dalam khutbah, dia kata kita jangan mengutuk orang. Tapi mereka mengutuk lagi teruk." Anak yang seorang ini kelihatan masih terkejut.
"Bukan setakat mengutuk, tapi maki hamun. Mengutuk dalam masjid pulak tu," cerita yang seorang lagi sambil menggeleng kepala, tanda tidak puas hati.
"Dahsyat betul," komen anak yang awal tadi.
"Saya tak pernah dengar khutbah yang seteruk begini. Ishhh...." Anak ini masih tidak berpuas hati. "Buruk betul mereka menghentam lawan," sambungnya lagi.
Saya hanya menjadi pendengar yang diam dalam senyum. Kadang-kadang ada baiknya jika anak-anak semuda ini didedahkan dengan dunia yang sebenar. Selama ini mereka diselindungi, hanya melihat yang muluk, menyaksikan manusia yang suka bermain kata-kata tetapi tidak bertanggungjawab dengan kata-kata mereka.
Harap-harap anak-anak saya ini sudah boleh berfikir setelah mengalami peristiwa ini. Politik ini kotor. Permainan ini adalah untuk orang yang berkata apa-apa sahaja yang dianggap akan menguntungkan dirinya dan kumpulannya. Baik daripada pihak lawan atau pihak yang satu lagi, semuanya serupa.

Ahad, 14 Jun 2009

SenjaMu













Senja, laut, pantai dan perahu.Sebuah cerita dalam empat gambar yang sempat dirakam. Saya asyik jadi pemerhati yang dilekakan oleh warna senja dan pelukan angin yang berkeliling. Alangkah mahalnya harga detik ini. Terima kasih Tuhan, kerana masih diberikan kesempatan menyaksikan kebesaranMu.

Ahad, 8 Februari 2009

Entah


Kadang-kadang perhubungan boleh bertukar menjadi kacau bilau, apabila tidak difahami atau tersilap faham. Anak-anak remaja saya yang sedang membesar menjadi dewasa, biasa juga menyebabkan saya selalu bengang, dan ada kalanya saya tergelak lucu. Apa-apapun mereka lakukan, selalunya saya paksa diri saya berfikir positif untuk mengelakkan angin saya naik.

"Abang, adik dah balik?, "
"Entah, tak perasan," jawab anak nombor satu selamba, sambil matanya terkebil-kebil asyik memandang skrin komputer. Saya terfikir, mungkin dia sedang tekun menyelesaikan tugasan kolejnya. (Kot-kot)
" Abang balik tak minggu ini?" saya menelefon anak nombor dua yang juga sedang belajar di kolej di Bangi.
"Entah, tengok dulu." jawabnya ringkas. Agaknya dia di dalam kelas.
"Macam mana kerja, bagus?" soalan biasa untuk anak ketiga yang bekerja sambilan di Parkson sementara menunggu keputusan SPM.
"Entah, biasa je." Sekurang-kurangnya jawapannya kali ini panjang juga. Biasanya dia hanya akan menjawab "u hu," "ugh", "a' a' " atau "ahah". Agaknya saya dah terbiasa dengan jawapannya maka saya pun ambil tak kisah.
"Abang, pinggan dah basuh ke belum?" Ingatan biasa kepada anak saya yang keempat, kini berada di tingkatan empat.
"Entah, tak ingat. Tapi yang semalam dah basuh." Memang loyar buruk macam selalu. Saya fikir dia penat agaknya.
"Adik, abah ada telefon tak?" Anak bongsu manja saya yang kini berada di tingkatan dua ini biasanya menjawab ketika ditanya walaupun selalunya asyik bergayut di telefon bimbit, atau bersembang di friendster, atau menulis di "scrapbook"nya,
"Entah, tanya abang", jawabnya sambil terus menumpukan perhatian pada kerjanya. Ugh, agaknya idea kreatifnya sedang datang.

Saya dan suami memang dah malas dengan perangai mereka sehinggalah kejadian hujung minggu lalu apabila kami mengajak kesemuanya keluar.


"Abah, kita nak ke mana?" Tanya si bongsu.
"Entah." Jawab abahnya pendek. Semua jadi senyap seketika. Perbualan mereka turut terhenti. Semuanya seolah-olah sedang menumpukan perhatian kepada kami. Agaknya mereka rasa kelainan dengan jawapan abahnya.
"Mak, kita nak ke mana?" Ulang si bongsu lagi. Dan ini tentunya untuk saya.
"Enttahhhhh," jawab saya sengaja memanjangkan perkataan itu.
Serentak dengan itu tiba-tiba mereka ketawa berderai. Saya melihat cermin tengah, memerhatikan mereka. Ada yang meletakkan tangan ke dahi dan ada yang ketawa sambil membongkok. Apahal pulak ni?
"Abah, kita nak pergi makan, ya?" yang keempat pula cuba bertanya.
"Entah," balas abahnya ringkas.
Sekali lagi jawapan itu disambut dengan ketawa berderai. Saya membiarkan sahaja dan cuba berlagak serius.
"Mak, kita nak makan di mana," tanya yang nombor dua.
"Ennttaahhh," saya menjawab.
Masih lagi ketawa yang dibalas. Seronok agaknya dengan jawapan itu, fikir saya.
"Abah, kita nak makan apa?" tanya yang kedua mencuba lagi.
"Entah," perlahan dan pendek jawapan si abah. Riuh rendah di belakang bagai pasar bunyinya.
"Mak, cakaplah kita nak ke mana?" tanya si bongsu merengek.
"Enntttaaahhhhhh," ulang saya.
"Waagghhhh...ha ha ha ha," sahut mereka. Ketawa nakal anak-anak remaja. Saya tetap dengan selamba, Abah mereka yang sedang memberi tumpuan ketika memandu dengan serius, nampak menahan senyum.
Sehingga sampai ke tempat makan, 20 minit kiranya, sampai tak terhitung berapa kali, mereka tak putus-putus bertanya.
Jawapan kami tetap sama.
"ENTAH".

Ajaibnya, sejak peristiwa itu sehingga saat ini, saya belum lagi mendengar perkataan"entah" ataupun "tak tahu", baik "uh uh" atau "a ha" daripada mereka lagi.
Berjayakah kami menjumpai ubat bagi mengatasi ke"entah"an mereka itu?

Entahlah.

Rabu, 8 Oktober 2008

Woi, mana kampung?

Sejak dahulu, rumah kayu yang tersergam milik nenek, diperturunkan kepada Emak dan kemudian kakak, menjadi tumpuan kami adik beradik menyambut raya. Di rumah ini, kami menyaksikan keluarga kami membesar dan orang dewasa pergi meninggalkan kami satu persatu. Tapi tradisi balik kampung tetap tidak ditinggalkan dan rumah ini masih tetap menjadi tumpuan kerana isinya penuh dengan nostalgia.
Cuma tahun ini, kami hanya mampu melihat rumah ini dari luar. Bukan kerana telah dijual atau diambilalih oleh sesiapa tetapi dikoyakrabakkan oleh pencuri.
Awalnya mereka memunggah kain batik milik arwah ibu dan pinggan-mangkuk peninggalan nenek. Habis semua almari dipunggah dan diranapkan. Mereka masuk semula dengan menarik semua wayar elektrik di sekeliling dan di dalam rumah. Walaupun laporan polis telah dibuat, tetapi mereka dengan berani masuk memecah rumah kami lagi.
Hari raya tahun lepas, mujur ada abang ipar yang boleh memasang lampu menggunakan wayar baru. Tapi tahun ini perompak semakin mengganas. Televisyen kami telah lama disapunya. Selepas itu mereka mengopak peti sejuk dan mesin basuh untuk mengeluarkan motornya. Kesemua batang paip dan paip turut dicabut. Dan akhir sekali mereka mengopak fius besar elektrik dan membawanya bersama.
Akibatnya rumah ini tidak boleh dipasang elektrik dan kami yang terpaksa mengalah, dengan rasa sedih meninggalkan rumah ini tanpa dapat berhari raya di dalamnya.
Kalaulah saya terserempak dengan mereka ketika mereka melakukan kerja-kerja terkutuk itu, mahu saja saya laga-lagakan kepala mereka yang tidak berperasaan itu. Memang "mood" raya saya tahun ini tidak ada langsung.

Isnin, 25 Ogos 2008

Cendera di mata atau di hati?

Duit syiling 20 pence yang dikeluarkan pada tahun 1961 , hadiah Pak Ngah yang menetap di England, satu-satu pemberiannya yang saya simpan baik sebelum dia pergi mengadapNya. Cincin berbatu biru juga cincin arwah emak, juga disimpan dengan elok dan terbungkus kemas. Arwah bapa pula memberikan loket jed, walaupun sudah retak tetapi amat berharga buat diri saya.
Saya masih lagi menyimpan banyak barang ketika saya di zaman remaja. Semuanya sayang untuk dibuang. Tentunya setiap barang ini mempunyai memori yang tersendiri, iaitu zaman saya mengenal diri dan dunia sekitar. Antaranya sepit rambut bunga yang dipakai ketika keluar dengan rakan-rakan sempena deepavali, cincin berbatu ungu yang saya beli dengan harga RM2.00, gelang berukir pemberian sahabat, loket gading yang masih lagi berseri dan tidak pernah dipakai. Semuanya disimpan baik di dalam kotak yang disalut dengan kain. Agaknya sudah hampir 30 tahun saya menyimpan barang-barang ini. Namun yang paling berharga buat saya ialah seutas rantai pemberian salah seorang rakan. Walaupun sudah agak pudar warnanya, dan sesekali terputus, dan saya beberapa kali pula menyambungnya kembali, membungkusnya dengan kapas dan memasukkannya ke dalam dompet kain yang ditenun khas, saya masih menyimpannya dengan baik. Mengapa rantai ini begitu istimewa? Saya hanya boleh merasai kerinduan zaman remaja dan persekolahan dengan memegang dan melihat rantai ini. Banyak kisah yang tersembunyi di sebaliknya dan banyak juga kisah lucu bersama rakan-rakan yang tidak dapat saya lupakan. Saya selalu berulang ke dunia itu hanya melalui rantai ini. Itulah sebab ia sangat istimewa di hati saya.
Suatu hari, tiba-tiba, seseorang yang memberikan rantai ini menelefon. Walaupun sudah bertahun-tahun tidak berjumpa atau berhubung, saya masih dapat mengenali suaranya. Setelah puas bercerita, saya memberitahunya yang saya masih lagi menyimpan rantai pemberiannya walaupun rantai itu sudah kusam dan lusuh, tanda saya menghargai pemberiannya.
"Kamu memang suka simpan barang buruk, ya," katanya setelah mendengar celoteh saya.
Blink! Blink!
Ouch. Eeeueewwww.

Ahad, 3 Ogos 2008

Nama Oh Nama....

Manusia dilahirkan dengan nama. Ada dalam kalangan rakan saya yang menamakan anak mereka dengan nama ringkas seperti Dani, Faizal, Sara. Malah ada juga yang menamakan anak mereka dengan nama yang panjang seperti Adriana Fazirah Hanim, Mohd Khairuddin Akmal dan macam-macam lagi. Tetapi ada juga rakan-rakan saya yang mempunyai nama lain daripada nama di kad pengenalan mereka, atau ada nama panggilan di rumah, misalannya Faikha dipanggil Zan di rumah atau Padilah dipanggil dengan nama Kam oleh ahli keluarganya.
Saya tidak terkecuali. Sungguhpun nama di kad pengenalan saya ialah Zaiton, tetapi panggilan keluarga saya ialah Mariah.
Cara saya mendapat dua nama ini sungguh lucu. Semuanya gara-gara datuk saya yang terlupa ketika mendaftarkan nama saya di pejabat kelahiran.
Sebenarnya semuanya berpunca daripada keluarga saya yang mempunyai kelaziman yang tersendiri. Abah akan menghantar emak balik ke kampung sebaik sahaja kandungan emak mencecah lapan bulan. Mungkin abah lebih rasa selamat jika emak dijaga sendiri oleh ibunya memandangkan tugas abah sebagai polis tidak dapat menjaganya sepenuh masa. Saya anak ketujuh yang dihantar ke kampung.
Sebelum balik, abah berpesan kepada datuk supaya menamakan saya Mariah (saya pula tidak sempat bertanya nama yang diberikan abah jika saya lelaki kerana semua watak penting kisah ini telah lama meninggal dunia) . Tetapi datuk tidak dapat mengingatinya dan menamakan saya sempena nama anak kepada sepupunya di kampung.
Lebih lucu lagi, datuk menyimpan surat pendaftaran kelahiran dan tidak memberitahu ibu nama saya. Dan kisah itu dilupakan setelah ibu dijemput abah setelah habis pantang balik ke tempat beliau bertugas.
Cerita tentang nama ini hanya timbul semula ketika abah mendaftar saya di sekolah, tujuh tahun berikutnya. Saya masih tidak mengetahui nama sebenar saya sehingga nama saya dipanggil oleh guru berulangkali. Pastinya saya tidak menyahut panggilan itu sehingga ditegur oleh guru. Itu pun setelah satu kelas mentertawakan saya.
Saya masih boleh menyahut dua panggilan itu dengan baik. Panggilan ini membezakan pemanggilnya, sama ada di dalam majlis rasmi atau ketika bersama keluarga.

love

love

love

love