Jumaat, 19 November 2010

Kosong

Kosong?
Ya, tiba-tiba saya melihat terlalu banyak kosong muncul hari ini. Berlegar-legar di keliling dan di dalam diri. Di atas, di bawah dan di hadapan saya.
Blog ini saja pun sudah lama terbiar kosong. Sama kosongnya dengan minda saya yang sudah lama kosong kerana tidak diisikan dengan pembacaan yang berfaedah, termasuk melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat. Akibat terlalu lama agak kosong, karat pun sudah mula muncul dan hampir meretakkan sebahagian dindingnya.
Itulah kemungkinan akibat terlalu menumpukan perhatian pada jiwa dan emosi. Emosi kadang-kadang boleh juga melalaikan minda, melenakan manusia daripada berhadapan dengan realiti. Mungkin terlalu banyak permainan perasaan yang akhirnya tidak membawa manusia ke mana-manapun kecuali impian yang kosong.
Kini saya sedang berusaha untuk mengosongkan jiwa dan emosi saya, agar saya benar-benar dapat menumpukan perhatian semula kepada minda. Juga meletakkan kaki agar saya benar-benar berpijak di dunia realiti. Itulah doa saya.
"Try not to become a man of success, but rather try to become a man of value." ~Albert Einstein

Selasa, 5 Oktober 2010

Konfius? Bukanlah, keliru!

Manusia ini adalah kejadian Tuhan yang memang sentiasa tidak sempurna. Saya hanya teringatkan kisah pelik saya ketika kecil, secara tiba-tiba. Ketika itu saya sedang merenung sepasang selipar besar, bergambar buah strawberi yang terletak di bawah meja saya. Selipar itu adalah bukti bahawa saya ini bukan manusia yang sempurna.
Sungguh! Ketika kecil saya tidak dapat membezakan antara yang kanan dengan yang kiri. Lucu, bukan?
Seperti biasa, si dia, rakan baik saya ini yang menjadi rujukan. Mana satu kanan dan mana satu kiri? Pada saya kedua-duanya sama, saya keliru.
Masakan saya boleh lupa kisah itu. Si dia yang akan membuka kasut atau selipar saya jika saya binggung. Kemudian menyarungkan semula di kaki saya. Dan si dia juga yang memastikan saya menyarung dengan betul, sehingga sanggup menunggu saya di tepi tangga!
Apabila dewasa, saya juga berharap si dia akan sentiasa membetulkan saya, jika saya berada dalam kekeliruan itu lagi. Mengingatkan saya pilihan itu ada yang membawa saya ke kiri dan ada juga yang menyeret saya ke kanan. Sama seperti dia membetulkan cara saya menyarung selipar, suatu masa dahulu.

DEMI CINTA Kerispatih toAVI

Rabu, 15 September 2010

Harga diri

Saya tidak banyak punca kata-kata sebaliknya membebaskan dia menyatakannya. Jelas dan perlahan tetapi penuh bermakna.
Maafkan saya. Saya tidak dapat melakukannya apatah lagi merapatinya. Agama dan budaya saya sama sekali melarangnya.
Maafkan saya. Saya lebih rela persahabatan ini dileraikan daripada saya menjadi orang yang tidak punya harga diri.

Hari terakhirmu Ramadan

Hari terakhirmu Ramadan,
Aku memang sentiasa masih mahu memelukmu,
Mendampingimu berlalu pergi,
Sehingga membawaku kembali lagi,
Di sini.

Hari terakhirmu Ramadan,
Rangkulan ini tidak mahu kurungkaikan
Kerana kehadiranmu bersama seribu malam
Yang menjanjikan penghapusan dosa,
serta pembersihan jiwa.

Hari terakhirmu Ramadan,
Membawa aku erti keimanan
Dan pengampunan Tuhan.

Ramadan
Demi janjimu kepada manusia
Kau terpaksa kulepaskan
Dengan janji bertemu setahun lagi
Dan memadu kasih bersama taubat dan tahajud saban malam.

Selamat jalan Ramadan,
Kulepaskan kau dengan berat hati
Dan menoleh pada Syawal yang menanti.

30 ramadan/ 9 september 2010

Sabtu, 4 September 2010

Rindu 2

Ah, rindu itu masih ada lagi dihati dan beberapa kali datang bertandang lagi.Rindukah itu...

Rindu

Rinduku masih ada lagi
pada rumah dan tanah pusaka ini
pada tawa mak dan senyuman abah
yang memenuhi ruang masa itu.

Rindu ini masih tersemat di hati
pada kenanga yang mengharum di laman
dan pohon rambutan yang lebat melandai ke tanah.

Rindu ini kadang-kadang melanda
Tatkala menyaksikan hujan turun
dan bau tanah serta rumput basah
mengembalikan nostalgia cinta
pada rumah dan kebun ini.

Kini
yang tinggal
hanyalah imbasan kembali
manisnya bersama-sama keluarga.

Ramadan

Hari ini hari ke 25 umat Islam menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan. Masa sebegitu pantas berlalu, dan sedar tak sedar, kita sudah sampai ke penghujung bulan ini.
Hari raya akan menjelma walaupun hari raya dahulu terasa bagaikan baru saja berlalu. Sedar tak sedar, saya rupa-rupanya sudah setahun tidak pulang ke kampung. Tidak ada sesiapa lagi di sana. Rumah kami kosong dan kerap dimasukki pencuri. Dari luar rumah ini kelihatan sangat uzur dan banyak tempat yang perlu dibaiki. Laman di sekelilingnya sudah ditumbuhi rumput liar dan kelihatan tidak terbela.
Kalaulah mak dan abah masih ada lagi, rumah ini pasti akan terpelihara sentiasa. Pokok-pokok bunga, yang menanti kami datang, memaniskan suasana. Dan yang pastinya saya tidaklah balik ke kampung hanya sekali dalam setahun...

Jumaat, 27 Ogos 2010

Pasrah..

Minggu ini penuh dengan pergolakkan yang menggoyah sebuah harga diri. Hari pertama minggu ini sahaja saya terpaksa berhadapan dengan sebuah keegoaan manusia yang maha hebat. Air mata saya jatuh berderai dan hati terguris luka yang dalam. Hanya kerana sebuah nama dan pangkat, saya pula yang menjadi sasaran pagi itu. Hingga petang, rawan di hati masih belum reda. Hanya kekuatan dalam diri dan doa saya pada-Nya beransur-ansur menguatkan hati, membungkus rasa terhina yang tidak terhingga.
Hari keduanya tiba-tiba saya dikurniakan sebuah kejutan. Hidup ini tiba-tiba disinari sebuah kasih sayang yang indah, sebuah perasaan mula kembali menguntum tunas. Kasih sayang ini bagaikan sebuah bintang yang memberi sinar kepada hati, mengembalikan semangat saya yang hampir-hampir hilang oleh peristiwa sebelumnya.
Sepanjang minggu itu sinar itu terus menemani sehingga saya mampu berdiri dan menjadi lebih kuat, yakin dan percaya bahawa saya boleh meneruskan perjuangan di bumi yang serba tidak ketentuan ini,. Keharumannya memberikan warna baru yang lebih ceria dalam hidup ini.
Hujung Jumaat, pada malam ramadan yang tenang, dengan tiba-tiba keharuman itu beransur pergi dan terus hilang. Saya terkesima dan malu pada diri yang terlalai dengan keindahan dan sinarnya. Adakah ini hanya dugaan daripada-Nya untuk menjadikan saya lebih reda dan pasrah dengan kehidupan ini.

Terima kasih kepada Tuhan kerana memberikannya kepada saya walaupun sebentar cuma.

Apakah yang akan berlaku pada minggu hadapan dan seterusnya, masih belum ada kepastiannya. Tetapi saya perlu sekali lagi bangun dan menjadi kuat, bersemangat, bekerja lebih keras dan menyerah segala-gala kepada-Nya. Tidak mengapalah walaupun hati saya terus menjadi lara. Tetapi tangisan saya kini semakin perlahan kerana saya mahu berjalan bersendirian.
Biarlah masa yang menentukan kerana dunia ini hanyalah sebuah persinggahan.

Rabu, 11 Ogos 2010

Ramadan

Hari ini pertama puasa, bermula dengan solat tarawih dan bersahur. Terjaga jam 4.30 pagi dengan semangat berkobar-kobar untuk menyediakan sahur buat suami, mak mertua dan anak-anak. Memang tidak masak pun, hanya memanaskan lauk yang dimasak mak mertua siang tadi.
Wah, tiada siapa yang makan nasi kecuali mak mertua, itupun cuma sejemput nasi. Suami hanya minum secawan air untuk menelan ubat darah tingginya. Dua anak sudah makan lebih awal sebelum masuk tidur, dan anak yang seorang ini cuma makan roti yang disapu mentega.
Akhirnya saya terdaya juga menelan sekeping roti dengan sebiji telur goreng.

Awal paginya ketika memandu ke tempat kerja, saya hampir terlelap beberapa kali kerana mengantuk. Cuba menyanyi kuat-kuat tetapi iklan di radio pagi itu terlalu lama, menyebabkan saya mamai. Akhirnya saya tertidur hampir dua puluh minit di tempat letak kereta ofis.

Bangun untuk bersahur lagi? Ya, tapi hanya untuk minum air dan mengambil sunat sahur. Anak-anak? Saya sediakan makan mereka sebelum tidur....dan mengejutkan mereka sahaja untuk makan....Er walaupun rasa bersalah begitu kuat, tetapi saya perlu berjaga untuk bekerja....

Jumaat, 16 Julai 2010







Atas-di pagi hari raya. Saya sedang makan kek.

Zaman kanak-kanak sudah lama berlalu. Melihat gambar-gambar ini, ingatan beralih ke zaman 1960-an. Bersama abah dan kawan-kawan sepermainan yang manis dan baik.....


Rabu, 30 Jun 2010

Saputangan

Kawan-kawan lama banyak membangkitkan nostalgia ketika kami belum dewasa. Dia ini istimewa sedikit kerana kami berkawan sejak bayi lagi. Sejak bayi? Ya, kerana keluarga kami tinggal bersebelahan di berek polis, sebuah rumah panjang yang cuma disekat dengan dinding kayu. Saya mengingati hampir setiap orang dan aktiviti yang selalu terjadi di rumah berek ini.

Saya memang ingat padanya tetapi tidak dapat menggambarkan wajahnya yang kini telah dewasa kerana kami tidak pernah berjumpa sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kami berpisah apabila saya dihantar ke rumah nenek sebaik sahaja memasuki darjah satu.

Dia memang baik dan selalunya kami berjalan berpimpin-pimpin tangan, makan bersama-sama dan bermain berdua sepanjang masa. Laman rumah yang dipenuhi pasir itu biasanya menjadi tempat kami membina istana kecil. Kami juga menghadiri pelbagai aktiviti bersama-sama. Kami memang akrab.

Cuma satu peristiwa yang kekal kuat di ingatan ialah apabila pada suatu hari dia menolak saya ke dalam longkang secara tidak sengaja. Akibatnya saya pengsan dan dua benjolan biru muncul di dahi. Akibatnya dia dirotan dengan teruk oleh bapanya dan saya diangkat dari satu rumah ke satu rumah untuk dirawat oleh seluruh penghuni berek yang prihatin.

Entah bagaimana, baru-baru ini saya mendapat nombor telefonnya daripada kakaknya yang terserempak dan mengenali saya di satu majlis perkahwinan.

"Saya, Mariah," kata saya memperkenalkan diri dalam telefon.

Dia diam beberapa saat, cuba mengingatkan sesuatu.

"Mariah kuater polis di JB?" katanya lagi.

"Ya, betul." jawab saya lega.

"Mariah simpan saputangan yang saya beri dahulu?"

"Hah? Saputangan?" Saya betul-betul tidak ingat dan tidak simpan pun apa-apa. Tiba-tiba saya teringat macam pernah sahaja tengok sebuah filem yang serupa ini. Cuma heroinnya lebih baik daripada saya kerana menyimpan saputangan itu sedangkan saya tidak. Kasihan hero saya ketika kecil itu. Pasti dia akan kecewa apabila saya nyatakan saya memang tidak dapat mengingati langsung hal itu....alahai.

Rabu, 21 April 2010

Warna-warni dunia

Salam,
Dunia ini berputar-putar mencari warna-warni dunia yang sentiasa berubah-ubah. Kecekalan dan kekuatan dalam mencari diri perlu untuk lebih tabah. Kadang-kadang insan yang cekal pun boleh ditewaskan dengan fitnah yang terancang, apatah lagi kubu-kubu kuat dalam hati boleh dihancurkan dalam sesaat oleh kawan-kawan yang menikam dari belakang.
Bersangka baik dan berpegang pada keimanan dan ketawakalan serta memohon perlindungan daripada-Nya adalah cara terbaik untuk mengharungi kehidupan di dunia yang pelbagai ini. Perjuangan untuk hidup di dunia mesti diteruskan sebelum melangkah ke alam yang satu lagi.

Jumaat, 5 Februari 2010

Tin kosong

Saya hanya tercegat berdiri di situ mendengar tin kosong berbunyi, "kelentong, kelentong, kelentong". Manusia yang lalu lalang di sekitar tidak menoleh langsung, walaupun bunyi tin kosong semakin galak, dan getaran tin semakin bertambah. Saya dapat merasakan cuaca yang redup pada awalnya menjadi semakin panas.
"Saya dulu banyak berjasa. Saya pernah lawan samseng-samseng berkepala naga di lengan. Sepuluh orang sekali gus," sambungnya sambil menunjukkan 10 jari tangannya dengan matanya terbeliak-beliak. Kayu yang dipegangnya dilambung berkali-kali. "Saya gagah macam Hang Tuah, membuka silat dan berpancak seribu bunga sehingga samseng pun ngeri." Tin kosong mengeluarkan bunyi-bunyian yang semakin bergemerincing. "Tak ada siapa pun yang berani dengan saya," sambungnya lagi sambil membetul-betulkan seluar singkatnya ke betis.
Saya sudahpun menyumbat telinga dengan lagu "Hey Ladies" nyanyian Rossa yang muncul berlegar-legar di fikiran sejak tadi. Perut saya bagai nak keluarkan isinya apabila mendengar tin kosong yang berkelentang kelentong itu.
"Errr, boleh berikan duit? Saya nak isi minyak motor ni?,"tiba-tiba dia bertanya. Saya terkedu. Lagu "Hey Ladies" hilang dan muncul pula Stacy dengan "Pakai Buang"nya. Saya menendang motornya dan berlari menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu. Tanpa menoleh saya mendengar jeritannya.
Dalam teksi, bunyi tin kosong masih enggan meninggalkan kepala saya... "Kelentong, kelentong, kelentong." Kalaulah saya boleh menyumpahnya, saya mahu dia menjadi katak yang menggerutu dan berlendir kulitnya.

love

love

love

love