Ahad, 19 Julai 2009

Kahwin dan kahwin lagi.

Kahwin? Dan kahwin lagi? Hmmm...saya memang teringin sangat nak tahu (kepoh, kata sesetengah orang) mengapa lelaki mengambil keputusan untuk menambah isteri. Maka saya pun mulalah mewawancara beberapa orang yang saya kenal dan telah menambah satu atau dua lagi.

"Bapa saya pun kahwin tiga," katanya. Baginya keadaan itu adalah sesuatu yang normal dalam keluarganya dan setakat ini ibunya tidak ada sebarang masalah dengan madun-madunya. Tetapi bagaimana pun saya pula yang menjadi mangsa kerana selalu terpaksa "menjawab" bagi pihaknya apabila dia selalu tidak ada di pejabat. Dia di mana? Di rumah salah seorang isterinya di rumah atau keluar tanpa pesanan.

"Sebab saya mahu menyelamatkannya," kata kawan saya yang bermata bundar ini. Kali ini saya tidak menyangka yang dia akan menambah isteri lagi kerana orangnya ringkas, pendiam dan tidak "nakal".
"Kalau janda lima anak atau kematian suami memanglah patut diselamatkan, tapi ini gadis,"saya membantah.
"Duduk di KL ni, cik Ton. Seorang diri pula tu. Itulah yang mesti diselamatkan," dia menjawab lagi.
"Yang kamu cari pun bukannya sembarangan tapi yang berkelulusan, ada rumah dan ada kereta. Masuk rumah lap kaki sahaja." saya membidasnya lagi.
" Jodoh, Cik Ton," jawabnya selamba. Saya tidak tahu bagaimana nak menjawab apabila dia memberikan alasan jodoh. Soal qada dan qadar.

"Saya dah suka dan cinta," kata seorang lagi. Cintanya membuatkan dia tak boleh melupakan gadis ini. "Tetapi kasih dan cinta saya pada yang pertama tidak sedikitpun berkurang, malah semakin bertambah-tambah lagi. Ruangan di hati saya sentiasa membesar dan tidak luak sedikitpun." Dia memberi alasan. Dia masih balik ke rumah isteri pertama setiap malam dan tidak ada sistem giliran kerana menganggap isteri pertamanya tidak mengetahui hal ini.

Tetapi lelaki yang keempat ini memberi alasan yang memang pelik.
"Sebab saya gatal," katanya tertawa. Saya memang simpati kepada isteri pertamanya yang baik, isteri keduanya yang sabar dan isteri ketiganya yang menerimanya seadanya.
"Isteri keempat, saya simpati. Dia ada penyakit kronik." jelasnya lagi. Sekurang-kurangnya alasannya untuk bernikah kali ini bolehlah diterima. Akhir-akhir ini saya mendengar khabar dia telah menceraikan ketiga-tiga isterinya kecuali yang keempat. Apakah alasannya pula?

Kali ini, dengar pula cerita sang isteri. Baru-baru ini seorang rakan baik saya mengalami masalah yang sama. Ketika berjumpa dan bercerita, dia tidak berhenti-henti menangis . Rupa-rupanya suaminya, yang telah bersamanya selama 23 tahun, kahwin lagi. Kawan saya yang baik ini bertudung litup, menjalankan perniagaan yang maju, ada anak dan isteri yang taat. Madunya berusia 35 tahun, berambut perang, gemar memakai pakaian yang sangat moden, sendat dan ada kalanya menampakkan pusatnya. Perbezaan mereka macam langit dengan bumi. Kami, rakan-rakannya berfikir, suaminya sudah berubah citarasakah? Saya bersimpati.

Tiada ulasan:

love

love

love

love