Ahad, 27 Julai 2008

Permulaan sebuah kisah (2)

Saya seperti seorang murid yang menanti hukuman daripada gurunya. Dia mundar mandir di hadapan saya, seolah-olah mencari-mencari perkataan untuk diluahkan. Cermin matanya melurut di tengah-tengah batang hidungnya tetapi matanya memandang tepat kepada saya. Saya telah bersedia untuk menghadapinya tanpa memikirkan apa-apa yang serius bakal berlaku. Apatah lagi, ia cuma ketulan lemak. Rasa perit jahitan 4 sm pembedahan sekali sekala mencucuk di belakang.
"Keputusan penuh belum saya terima dari makmal. Tetapi saya sudah berbincang dengan dr di makmal."
Keadaan sunyi seketika. Tangannya diletakkan di belakang. Dr Hanis masih teragak-agak untuk menyambung ceritanya. Saya diam menanti. Sabar dan sedikit resah.
"Isi lemak itu ada mengandungi benda lain. Ada unsur-unsur kanser." Dia merenung saya, mungkin untuk melihat reaksi selanjutnya. Saya merenungnya semula tanpa merasakan apa-apa ketika itu. Semua rasa bagaikan telah hilang daripada tubuh saya, yang tinggal hanya jiwa dan fikiran yang kosong.
"Apa yang perlu saya buat selepas ini?" Anehnya itu sahaja yang terkeluar dari mulut ketika itu.
"Saya akan merujuk kes puan kepada pakar kanser, kita jumpa rabu nanti," jelasnya sebelum melangkah keluar.
Kesepian berseorangan di atas katil membuatkan saya lebih tenang. Tapi saya masih tidak dapat membayangkan bahawa ada kanser yang mula bersarang di dalam badan saya. Tidak pernah juga terlintas di fikiran bahawa pada suatu hari, saya akan menjadi pesakit kanser.
Saya berkira-kira untuk memberitahu seseorang tentang berita ini. Buruk atau tidak, perlu diberitahu. Tetapi siapakah agaknya. Suami? Saya lebih suka memberitahunya secara berdepan.
Nombor telefon ditekan dan menyambung ke seorang sahabat baik di pejabat. Dia akan menjadi orang pertama.
"Keputusan pebedahan dah dapat, dr baru beritahu aku tadi," saya memberitahunya. Dia menanti di hujung sana. "Aku ada kanser," sambung saya dengan perlahan. Ketika itu rasa sebak mula muncul dan menyelubungi diri. Perasaan dan kekuatan rasa datang semula, walau pun perlahan.
Dan di hujung talian itu juga saya terdengar sebuah esakkan. Sahabat, terima kasih kerana berkongsi rasa ini.

6 ulasan:

Lily Haslina Nasir berkata...

salam kak!
harap semuanya dipermudahkan untuk akak. mudah-mudahan suami dan anak anak akak jugak diberi ketabahan. apa-apa pun kita yakin akak cukup kuat melalui semua ni! insyaALLAH!

mariahsj berkata...

Lily,
Terima kasih. InsyaAllah, saya akan berusaha untuk mengatasinya.

denanz berkata...

ton,
hanya Allah yang tahu krn Dia yg menentukan segala-galanya. semoga tabah menghadapi dugaan ini.

Tanpa Nama berkata...

Salam. Semoga puan diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.


Haryati

Shahriah Shariff berkata...

Puan Zaiton,
sebak sy membaca entri ini.
Semoga kuat, sabar, tenang dan tabah.

Allah SWT maha tahu, Puan Zaiton mampu menerima ujian sebegini sekali gus menghadapinya.DIA sayangkan Puan...

Ritah Yahaya berkata...

Kak ton,

Semoga cepat sembuh

love

love

love

love