Memaparkan catatan dengan label Kisah Kanser. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Kanser. Papar semua catatan

Khamis, 3 Mac 2011

Pertemuan

Saya tidak menyangka dapat bertemu semula dengan rakan-rakan sekolej. Rakan-rakan yang baik, dan ceria serta membentuk saya seperti hari ini.
Sebaik sahaja saya disahkan mengidap limfoma, sejenis kanser darah, harapan untuk berjumpa mereka nampaknya seperti tidak akan kesampaian. Saya terus membiarkan rasa rindu pada mereka jauh di sudut hati. Tambahan pula, rawatan kemo tidak dapat memberi jaminan untuk sembuh sepenuhnya, hanya menunda masa dan membunuh sel kanser yang ada sewajarnya.
Namun kesabaran pada segala yang dihadapi tidak sia-sia. Perancangan diatur dan dengan penuh semangat memastikan sebeberapa ramai yang terdaya dijemput. Selama dua minggu, rancangan menjadi kenyataan dan kami berkumpul di Sambal Hijau. Hampir separuh daripada mereka hadir. Alhamdullilah.
Walaupun keadaan di situ panas dan sempit, dan masa agak terhad, tetapi gelak ketawa, menyingkap kisah-kisah lama di kolej sudah cukup menghiburkan. Wajah-wajah ini walaupun sudah dewasa dimamah usia, masih lagi mengekalkan watak ketika di kolej, penuh aksi lucu dan ceria. Kami jenuh bercerita dengan ketawa, ketawa dan ketawa.
Di dalam hati, saya tidak putus-putus berkata-kata, terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana diberi peluang ini.

Khamis, 3 Februari 2011

Bimbang

Ada kesan-kesan lebam tanpa sebab berlaku beberapa bulan kebelakangan ini. Kadang-kadang bulat dan kadang-kadang pelbagai bentuk. Kadang-kadang biru dan hitam. Kata keluarga, ada kena mengena dengan sesuatu yang berkaitan dengan kuasa asing. Uisk, mengarut, fikir saya. Kini kerap pula demam yang datang bertimpa-timpa. Musim, agaknya. Tetapi yang menghairankan terasa ada sesuatu yang menganggu saya di bahagian pinggang, sesekali menusuk keras. Sejak setahun yang lalu, rasa itu tidak pergi. Dan doktor tidak dapat mengesan apa-apapun di situ. Ya, saya saja yang merasakannya. Khayalan? Tak mungkin.
Akan berulangkah kisah lalu. Ya, saya bimbang. Sungguh.

Khamis, 18 Disember 2008

Kisah kanser 1

Saya membuka blog ini untuk mencatatkan pengalaman dan perasaan saya sebagai pesakit kanser. Tetapi saya mengambil masa yang agak lama untuk mencatatkannya kerana saya tidak dapat memikirkan dan memilih ayat yang sesuai untuk menceritakannya.

Setelah berfikir-fikir lama dan mendapat nasihat teman-teman baik, saya akhirnya memilih rawatan kemoterapi. Saya bersedia untuk menerima risiko apabila toksid disalurkan ke dalam badan saya bagi membunuh sisa sel-sel kanser yang masih ada, juga sel-sel sihat. Rawatan ini juga boleh mengakibatkan banyak kesan negatif, saya akan kekurangan daya tahan badan, mudah diserang jangkitan dan kemungkinan organ-organ penting di dalam badan akan turut rosak.

Terlalu banyak derita dan airmata yang tercurah ketika dirawat. Saya merasakan begitu sukar untuk meluahkannya. Apatah lagi apabila berhadapan dengan keluarga dan kawan-kawan yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan saya. Ketika rawatan kemoterapi pertama berlangsung, saya langsung tidak berdaya untuk mengadap komputer dan mengemaskini blog ini.

Saya perlu kuat! Itu sahaja yang saya katakan kepada diri saya berulang-ulang setiap hari. Saya tidak mahu sama sekali membenarkan anak-anak melihat saya berada di dalam keadaan lemah. Saya juga tidak mahu menghampakan rakan-rakan, sama ada yang berada di sekeliling atau yang tiba-tiba muncul memberikan semangat tanpa putus-putus. Kasih sayang inilah yang memberikan kekuatan untuk terus melawan kesakitan ini.

Dan kepada Allah S.W.T sahajalah saya menyerahkan jiwa ini. Saya bersyukur kerana diberi ujian yang cukup kecil ini jika dibandingkan dengan limpahan nikmat yang diberikanNya sebelum ini. Saya reda.

Rabu, 10 September 2008

Permulaan sebuah kisah 3

"Lymphoma disease," kata doktor sambil menghulurkan laporan keputusan penuh. Di situ tertera, Classic Hodgins's disease, lymphocyte-rich. Terang dan nyata.
Saya terkebil-kebil memandang doktor, meminta penjelasan lanjut.
"Kanser limfoma, berkaitan dengan kelenjar. Kanser jenis baik." katanya sambil memandang saya.
Saya masih tidak berpuas hati. "Apa yang baiknya doktor?"
"Kanser ini mempunyai peluang untuk sembuh, tidak seperti kanser lain yang mengganas dan cepat merebak."
Rupa-rupanya kanser ini termasuk dalam jenis hematologi, berkaitan dengan darah. Ada tiga jenis kanser di bawah kumpulan ini iaitu leukemia (berkaitan darah putih), limfoma (berkaitan kelenjar) dan myeloma (berkaitan sel plasma).
Rawatan selanjutnya memerlukan masa dan kesabaran yang panjang. Pertama, saya perlu membuat imbasan dan pengambilan sumsum tulang belakang. Di Malaysia, hanya tiga tempat sahaja yang ada PET-scan, rawatan imbasan yang lebih ketara dan rapi. Satu di Pusat Rawatan Subang Jaya, satu di Pulau Piang dan satu di Hospital Putra Jaya.
Memandangkan hospital Putrajaya di bawah hospital kerajaan, saya berkejar bersama sahabat ke sana. Mujur saya sempat membuat temu janji dengan doktor keesokkan harinya. Besoknya saya diberitahu bahawa saya perlu menunggu dua bulan untuk menjalankan Pet-scan. Saya tidak punya masa untuk menunggu dan berdasarkan surat pengesahan doktor kerajaan Hospital Putrajaya, saya menjalankan imbasan di Subang Jaya.
Dua hari selepas itu saya mendapat keputusan. Rupa-rupanya wang memainkan peranan penting untuk mendapatkan rawatan dengan cepat.
Dunia ketika itu berwarna cerah kembali. Tidak ada jangkitan di tulang belakang dan organ lain di badan. Saya terlalu bersyukur ketika itu.
"Puan perlu menjalankan kemoterapi 4 pusingan," jelas doktor lagi. "Semua ini untuk memastikan sel kanser yang masih ada dihapuskan."
Saya perlukan masa untuk berfikir. Menjalankan kemoterapi atau sekadar mengamalkan herba untuk rawatan selanjutnya? Saya buntu.

Ahad, 27 Julai 2008

Permulaan sebuah kisah (2)

Saya seperti seorang murid yang menanti hukuman daripada gurunya. Dia mundar mandir di hadapan saya, seolah-olah mencari-mencari perkataan untuk diluahkan. Cermin matanya melurut di tengah-tengah batang hidungnya tetapi matanya memandang tepat kepada saya. Saya telah bersedia untuk menghadapinya tanpa memikirkan apa-apa yang serius bakal berlaku. Apatah lagi, ia cuma ketulan lemak. Rasa perit jahitan 4 sm pembedahan sekali sekala mencucuk di belakang.
"Keputusan penuh belum saya terima dari makmal. Tetapi saya sudah berbincang dengan dr di makmal."
Keadaan sunyi seketika. Tangannya diletakkan di belakang. Dr Hanis masih teragak-agak untuk menyambung ceritanya. Saya diam menanti. Sabar dan sedikit resah.
"Isi lemak itu ada mengandungi benda lain. Ada unsur-unsur kanser." Dia merenung saya, mungkin untuk melihat reaksi selanjutnya. Saya merenungnya semula tanpa merasakan apa-apa ketika itu. Semua rasa bagaikan telah hilang daripada tubuh saya, yang tinggal hanya jiwa dan fikiran yang kosong.
"Apa yang perlu saya buat selepas ini?" Anehnya itu sahaja yang terkeluar dari mulut ketika itu.
"Saya akan merujuk kes puan kepada pakar kanser, kita jumpa rabu nanti," jelasnya sebelum melangkah keluar.
Kesepian berseorangan di atas katil membuatkan saya lebih tenang. Tapi saya masih tidak dapat membayangkan bahawa ada kanser yang mula bersarang di dalam badan saya. Tidak pernah juga terlintas di fikiran bahawa pada suatu hari, saya akan menjadi pesakit kanser.
Saya berkira-kira untuk memberitahu seseorang tentang berita ini. Buruk atau tidak, perlu diberitahu. Tetapi siapakah agaknya. Suami? Saya lebih suka memberitahunya secara berdepan.
Nombor telefon ditekan dan menyambung ke seorang sahabat baik di pejabat. Dia akan menjadi orang pertama.
"Keputusan pebedahan dah dapat, dr baru beritahu aku tadi," saya memberitahunya. Dia menanti di hujung sana. "Aku ada kanser," sambung saya dengan perlahan. Ketika itu rasa sebak mula muncul dan menyelubungi diri. Perasaan dan kekuatan rasa datang semula, walau pun perlahan.
Dan di hujung talian itu juga saya terdengar sebuah esakkan. Sahabat, terima kasih kerana berkongsi rasa ini.

Jumaat, 18 Julai 2008

Permulaan sebuah kisah....

Bermulanya cuma sebesar bekas gigitan nyamuk di belakang saya, sedikit atas dari pinggang di sebelah kanan. Saya menganggap sedikit benjol itu akan hilang dalam masa sehari dua, namun ia kekal di situ. Aneh, fikir saya. Tiga minggu berlalu, benjolan semakin membesar menjadi sebesar sebiji guli. Saya masih tidak mempedulikannya. Ketika minggu kelima, saya mula berasa kurang selesa apabila ia menganggu ikatan kain di pinggang atau ketika duduk bersandar.
"Biasanya ketulan lemak, selalu berlaku dalam kalangan usia 40 tahun ke atas," jelas Dr Nasir, doktor keluarga yang serasi dengan anak-anak sejak mereka kecil. "3sm X 3 sm," katanya lagi selesai mengukur besar benjolan itu.
Saya mahukan pendapatnya, "Terpulang. Kalau tak selesa dan menganggu lebih baik dibuang." katanya. "Seandainya demam atau rasa sakit, wajib dibuat rawatan lanjut." Saya tidak demam dan ketulan itu tidak juga menyakitkan, jadi sekali lagi saya membiarkannya.
"Buang," kata kawan baik saya yang bertugas sebagai doktor di hospital swasta di Ampang. Itu jawabnya apabila ditanya. Jadi apabila benjolan semakin membesar dalam minggu ketujuh, dan sebiji lagi sebesar gigitan nyamuk tumbuh di sebelah benjolan lama, saya segera mendapatkan rawatan dari hospital swasta di Subang Jaya.
Saya tidak ada pilihan lain lagi apabila doktor mencadangan supaya ketulan dibuang. Ketika diminta datang empat hari selepas itu untuk pembedahan, saya mula berbelah bagi. Amboi, cepatnya daging saya mahu dilapah, getus saya. Dr Anis Ahmad akan melakukannya. Sehari suntuk saya bertemu dua orang doktor, membuat x-ray dan membayar lebih RM 500 untuk semua itu.
"Mahalnya," sungut saya. Namun hati tidak lagi tenang ketika memikirkan tarikh pembedahan. Saya mula risau dan gangguan di fikiran mula menghimpit malam-malam yang panjang dan menjadikan tidur saya tidak lagi lena.

love

love

love

love