Rabu, 10 September 2008

Permulaan sebuah kisah 3

"Lymphoma disease," kata doktor sambil menghulurkan laporan keputusan penuh. Di situ tertera, Classic Hodgins's disease, lymphocyte-rich. Terang dan nyata.
Saya terkebil-kebil memandang doktor, meminta penjelasan lanjut.
"Kanser limfoma, berkaitan dengan kelenjar. Kanser jenis baik." katanya sambil memandang saya.
Saya masih tidak berpuas hati. "Apa yang baiknya doktor?"
"Kanser ini mempunyai peluang untuk sembuh, tidak seperti kanser lain yang mengganas dan cepat merebak."
Rupa-rupanya kanser ini termasuk dalam jenis hematologi, berkaitan dengan darah. Ada tiga jenis kanser di bawah kumpulan ini iaitu leukemia (berkaitan darah putih), limfoma (berkaitan kelenjar) dan myeloma (berkaitan sel plasma).
Rawatan selanjutnya memerlukan masa dan kesabaran yang panjang. Pertama, saya perlu membuat imbasan dan pengambilan sumsum tulang belakang. Di Malaysia, hanya tiga tempat sahaja yang ada PET-scan, rawatan imbasan yang lebih ketara dan rapi. Satu di Pusat Rawatan Subang Jaya, satu di Pulau Piang dan satu di Hospital Putra Jaya.
Memandangkan hospital Putrajaya di bawah hospital kerajaan, saya berkejar bersama sahabat ke sana. Mujur saya sempat membuat temu janji dengan doktor keesokkan harinya. Besoknya saya diberitahu bahawa saya perlu menunggu dua bulan untuk menjalankan Pet-scan. Saya tidak punya masa untuk menunggu dan berdasarkan surat pengesahan doktor kerajaan Hospital Putrajaya, saya menjalankan imbasan di Subang Jaya.
Dua hari selepas itu saya mendapat keputusan. Rupa-rupanya wang memainkan peranan penting untuk mendapatkan rawatan dengan cepat.
Dunia ketika itu berwarna cerah kembali. Tidak ada jangkitan di tulang belakang dan organ lain di badan. Saya terlalu bersyukur ketika itu.
"Puan perlu menjalankan kemoterapi 4 pusingan," jelas doktor lagi. "Semua ini untuk memastikan sel kanser yang masih ada dihapuskan."
Saya perlukan masa untuk berfikir. Menjalankan kemoterapi atau sekadar mengamalkan herba untuk rawatan selanjutnya? Saya buntu.

6 ulasan:

saharil berkata...

kak ton, kerna jarang diupdate, macam tak sabar2 baca entry2 seterusnya. setiap satu pun macam permata (perumpamaan klise, tapi betul!). semoga sembuh cepat-cepat.

nur ilhami berkata...

salam.

saya pernah mengesan sista payudara dulu, hasil pemeriksaan sendiri. lalu ke doktor. dibedah, tapi 3 ketul sista itu hanya air.

waktu itu, kanser belum fenomena, jarang didengar. maka apabila mendengar saya dibedah kerana sista, satu bangunan tempat kerja mengatakan saya diserang kanser, dan saya sudah kehilangan sebelah payudara saya. sabar sajalah.

doktor mengatakan kemungkinan sista berulang. dan benarlah, 3 tahun lepas, ia berulang di rahim saya. saya solat hajat tiap-tiap malam sehingga diperiksa semula enam bulan kemudian.

alhamdulillah. Allah mendengar doa saya. sungguhpun sista sudah tiada, solat hajat itu sudah menjadi seperti 'makanan keperluan' pula. masih melakukannya. pun saya malu untuk meninggalkannya hanya kerana saya sudah mendapat apa yang saya mahukan.

mariah, kesakitan itu satu nikmat sebenarnya - nikmatilah kesakitan dengan 'bermanja' dengan Tuhan.

wassalam.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Kak, daripada pengetahuan saya dan pengalaman orang lain, saya nasihatkan pergilah buat kemoterapi.
Kalau nak ambil ubat herba, tanya dengan doktor dulu takut ada kesan.
Betul, kemoterapi ada kesan, rambut gugur tetapi there is life after treatment.
Saya doakan Kak Tun kuat.

- X MPR 1994 -

joharihamzah berkata...

salam Kak Ton..

Mudah-mudahan Allah menyembuhkan penyakit kak ton, dan moga kak ton sabar dalam ujian..

benar - duit mempengaruhi kesihatan..hai, malangnya..

sekian..

Lily Haslina Nasir berkata...

Salam Kak Ton,
Tumpang lega bila baca N3 ni. Alhamdulillah, ALLAH makbulkan doa kak Ton. Akak cuma perlu sabar, teruskan berdoa, berusaha dan teruskan rawatan utk sembuh. Selamat Hari Raya utk Kak Ton dan keluarga.

AhmadRazinHjYob berkata...

Salam,

Doa, ikhtiar dan sabar

love

love

love

love