Rabu, 30 Jun 2010

Saputangan

Kawan-kawan lama banyak membangkitkan nostalgia ketika kami belum dewasa. Dia ini istimewa sedikit kerana kami berkawan sejak bayi lagi. Sejak bayi? Ya, kerana keluarga kami tinggal bersebelahan di berek polis, sebuah rumah panjang yang cuma disekat dengan dinding kayu. Saya mengingati hampir setiap orang dan aktiviti yang selalu terjadi di rumah berek ini.

Saya memang ingat padanya tetapi tidak dapat menggambarkan wajahnya yang kini telah dewasa kerana kami tidak pernah berjumpa sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kami berpisah apabila saya dihantar ke rumah nenek sebaik sahaja memasuki darjah satu.

Dia memang baik dan selalunya kami berjalan berpimpin-pimpin tangan, makan bersama-sama dan bermain berdua sepanjang masa. Laman rumah yang dipenuhi pasir itu biasanya menjadi tempat kami membina istana kecil. Kami juga menghadiri pelbagai aktiviti bersama-sama. Kami memang akrab.

Cuma satu peristiwa yang kekal kuat di ingatan ialah apabila pada suatu hari dia menolak saya ke dalam longkang secara tidak sengaja. Akibatnya saya pengsan dan dua benjolan biru muncul di dahi. Akibatnya dia dirotan dengan teruk oleh bapanya dan saya diangkat dari satu rumah ke satu rumah untuk dirawat oleh seluruh penghuni berek yang prihatin.

Entah bagaimana, baru-baru ini saya mendapat nombor telefonnya daripada kakaknya yang terserempak dan mengenali saya di satu majlis perkahwinan.

"Saya, Mariah," kata saya memperkenalkan diri dalam telefon.

Dia diam beberapa saat, cuba mengingatkan sesuatu.

"Mariah kuater polis di JB?" katanya lagi.

"Ya, betul." jawab saya lega.

"Mariah simpan saputangan yang saya beri dahulu?"

"Hah? Saputangan?" Saya betul-betul tidak ingat dan tidak simpan pun apa-apa. Tiba-tiba saya teringat macam pernah sahaja tengok sebuah filem yang serupa ini. Cuma heroinnya lebih baik daripada saya kerana menyimpan saputangan itu sedangkan saya tidak. Kasihan hero saya ketika kecil itu. Pasti dia akan kecewa apabila saya nyatakan saya memang tidak dapat mengingati langsung hal itu....alahai.

1 ulasan:

me berkata...

hihi nih ke membe kat berek polis yg mak ude cerita aritu...hihi hopefully bole la jumpe nanti time wedding saye ee =)

love

love

love

love