Isnin, 22 Jun 2009

Mat Lela

Kami menggelarnya Mat Lela. Semuanya bermula apabila dia mengambil bahagian sebagai pelakon teater dan membawa watak Mat Lela. Sejak itu gelaran tersebut melekat padanya.
Sebenarnya dia seorang manusia yang unik. Untuk mengenalinya memang mengambil masa yang bukan sedikit. Dia cuma perlu didekati dan kemudian carilah jalan untuk memahaminya.
Perwatakannya agak kasar tetapi sebenarnya hatinya lembut. "Kau tak sayang mulut," jerkahnya jika dia mendengar saya merungut.
Atau paling tidak dia akan menyanyikan lagu rock "Sejati" apabila dia melihat saya mula memanjangkan muncung, tanda tidak puas hati dengan jawapannya. "Sejati" membawa kenangan kepada kami ketika bertugas di Johor Bharu. Di sini, banyak warung menyediakan pentas untuk pengunjungnya berkaraoke. Dia beberapa kali turun naik pentas membawakan beberapa buah lagu dan berpesan kepada kami untuk bertepuk kuat-kuat. Ketika selesai menyanyikan lagu "Sejati", dia dengan gembiranya berkata, "Semua orang suka aku nyanyi lagu tu. Kau tengok, semuanya bertepuk." Dan saya cuma ketawa sambil mengangguk walaupun hanya tiga meja sahaja yang penuh di dalam warung itu. Tapi seperti biasa, dia tidak pernah kisah.
Ada kalanya dia menyatakan kerinduan kepada anak-anaknya yang terpaksa berpisah dengannya dan berada jauh di Terengganu. Wajahnya sugul menjelaskan hatinya yang kadang kala rapuh. Ada kalanya dia gembira dan wajahnya bercahaya, itupun ketika itu dia mengumumkan telah berjumpa kekasih hatinya dan akan mengakhiri zaman bujangnya.
Memang kadang-kadang payah untuk membaca atau meneka fikirannya sebabnya dia biasanya membiarkan kami menekanya dengan jawapan lazimnya, "mak aii."
Saya melihatnya sebagai manusia baik kerana dia tidak pernah berdendam. Apa-apa yang berlaku biasanya ditelannya di dalam hati dan menjalankan kehidupannya seperti biasa.
Nama sebenarnya Nor Hazizan. Panggilan terakhirnya pagi itu menghairankan saya, iaitu tiga hari sebelum dia meninggalkan kami. Dia menyuruh saya menduduki ujian PTK. "Kau ambeklah, nanti kau tak disahkan."
Mat Lela kini sudah tiada, tiba-tiba sahaja dia meninggalkan kami, para sahabatnya. Kami tiba-tiba kehilangannya, sahabat yang menghiburkan walaupun kadang-kadang sukar untuk dimengerti.
Semoga Tuhan mengampuni segala dosanya dan meletakkan rohnya dalam kalangan manusia yang beriman. Al Fatihah.

3 ulasan:

Ibnu Ahmad al-Kurauwi berkata...

Kak Ton,
Saya mengenali Mat Lela saat kami sepasukan dalam acara sukan ping pong kegemarannya. Kadang-kadang saya tak suka, namun banyak yang saya suka apabila saya mengenali wataknya. Mat Lela bukanlah watak antagonis. Sungguh!

saharil berkata...

Al-fatihah.

mariahsj berkata...

Sungguh. Perwatakannya kadang-kadang menyebabkan orang kerap salah sangka padanya. Dia perlu difahami. Itu sahaja.

love

love

love

love