Selasa, 20 Disember 2011

25 tahun

Tahun ini 25 tahun memberikan sesuatu makna yang tersendiri buat saya. Pertama, 25 tahun bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka.Kedua, hari ini genap 25 tahun saya diijabkabulkan dan bergelar seorang isteri.
Mudah bunyinya dan lama masanya. Banyak lingkaran dan lapisan-lapisan peristiwa yang berlangsung di dalamnya begitu banyak tersimpan onak durinya. Dua cerita yang berbeza tetapi kait mengait antara satu sama lain. Tanpa perkahwinan yang kukuh, tidaklah terbina satu kerjaya yang baik. Perkahwinan dan kerjaya saling bantu membantu dan seimbang. Kadang-kadang apabila terlebih yang satunya, tercicir yang satu pula. Kasih sayang yang kuat, ketabahan, dan faham memahami adalah ramuan untuk menjayakannya. Ada masanya juga salah satunya hampir kucar kacir tetapi jika bijak menanganinya, dan kuat berhadapan dengannya, segala kesukaran dapat dilalui dengan baik.
Terima kasih buat suami dan anak-anak, saudara mara dan para sahabat yang menjadi tunggak kekuatan dan sokongan sepanjang 25 tahun ini. Khas buat suami, terima kasih kerana menjadi suami yang memahami, bertanggungjawab dan penyabar.

Rabu, 8 Jun 2011

Bulan


Saya bertuah kerana dapat menyaksikan matahari bangkit di bandaraya Kuala Lumpur. Tetapi hari ini sinar matahari agak pudar kerana jerebu menyelubungi. Menara KL dan Menara berkembar nampak berbalam-balam seolah-olah ditutup debu.
Saya kini rindukan kemunculan bulan yang mesra bersinar. Di manakah bulan?

Selasa, 22 Mac 2011

Tears...

There is a sacredness in tears. They speak more eloquently than ten thousand tongues. They are the messengers of overwhelming grief, and of unspeakable LOVE~

Isnin, 21 Mac 2011

Khabar itu...


Awan yang terdampar keliru di langit biru,
Memungut rahsia dunia.
Khabar itukah yang mahu dibawa angin,
lalu disembunyikan di kaki gunung...?

Ahad, 13 Mac 2011

lembayung atma: Uisk...angkara facebook.

lembayung atma: Uisk...angkara facebook.

Uisk...angkara facebook.

Saya berjanji tidak mahu membuka facebook lagi buat seketika. Tetapi keadaan memaksa saya membukanya semula. Beberapa penulis dari luar negara dan universiti tempatan tercari-cari saya untuk menghantar bahan dan bertanya tentang beberapa hal berkaitan kerja. Anak saya ke Korea dan hanya berhubung melalui fb. Mahu tidak mahu terpaksalah saya membukanya semula.
Tetapi jika masih ada lagi beberapa perkara yang tidak menyenangkan akal dan minda saya di fb, maka saya akan menutupnya semula. Kasihan juga rakan-rakan saya yang baru sahaja terjumpa fb saya dan mahu berkomunikasi. Bersabarlah dengan karenah saya ini, ya. Kadang-kadang ada manusia yang tidak tahu menggunakan fb dengan sebaik-baiknya...

Khamis, 10 Mac 2011

Facebook yang kutinggalkan

Mengapa saya tidak lagi berfacebook? Hari ini saya menerima mesej pendek di telefon bimbit lagi bertanyakan hal ini."Apakah yang berlaku sebenarnya?" Tanya empunya mesej itu. Pertanyaan yang sama juga turut diajukan oleh beberapa rakan saya yang lain sejak beberapa hari lalu. Mereka langsung tidak bertanya sebab saya berhenti berfacebook. Pertanyaan cuma sekitar "apakah yang berlaku." Biarlah saya menjelaskan. Tidak ada apa-apa sebenarnya yang berlaku. Tiba-tiba sahaja saya mahu keluar daripada fb itu. Agaknya, ada orang yang menyayangi saya berdoa agar saya tidak disibukkan dengan fb dan kembali ke dunia nyata.
Alasan keluar saya mudah. Pertama, minda saya sudah lelah membaca kepelbagaian dalam facebook. Saya suka untuk mengetahui hal kawan-kawan, tetapi hal ini sebenarnya memenatkan minda. Ada ketikanya coretan fb menyebabkan saya terkesan sehingga ke petang dan saya "berangin" sehari suntuk. Ya, saya sensitif tetapi "angin" saya tidaklah menjadi "ribut".
Kedua, saya telah menjadi penagih tegar facebook. Perangai buruk yang tidak boleh dijadikan teladan. Contohnya, saya terus berfacebook sebaik terjaga daripada tidur. Kadang-kadang saya akan berfacebook pada tengah malam, sebelum tidur dan mencuri mengintai fb pada setiap masa terluang! Kawan-kawan rapat, anak-anak, adik beradik, suami, dan senarai panjang orang lain yang mengenali saya mula menegur kerana saya kurang berbual dengan mereka kerana asyik menatap iphone.
Ketiga, saya tidak ada displin dan tidak boleh mengawal masa berfacebook. Tunggulah, sehingga saya boleh berdisiplin dan mampu menetapkan masa untuk aktiviti ini, saya akan masuk semula ke ruang sembang ini.
Keempat, saya tidak mahu menyakiti hati sesiapa tanpa sengaja dalam facebook ini. Dan saya juga tidak mahu disakiti oleh orang lain.
Terus terang, saya sangat tenang dan aman ketika ini tanpa facebook. Jika dibandingkan dengan keadaan sebelum ini, saya selalu percaya hidup saya akan kosong tanpa facebook. Tidak benar, saya bahagia tanpa facebook. Amat bahagia. Sungguh.
Lupakanlah usaha untuk memujuk atau mengumpan saya berfacebook buat masa ini.

Selasa, 8 Mac 2011

Kenny G & Richard Marx -Sorry seems to be the hardest word

Hidup tanpa facebook.

Hari kedua tanpa facebook. Rakan-rakan dan saudara-mara mula menghantar sms, menelefon dan bertanya sesama sendiri di fb. Mengapa fb saya tiba-tiba hilang?
Ada dua rasa berlaku di sini selepas itu. Satu, rasa rindu dan kedua, rasa bahagia.
Perasaan rindukan teman-teman di fb sesekali datang, mahu berbual dan bertanya khabar mereka. Keperluan untuk berkomunikasi dengan mereka, seperti selalu sudah menjadi rutin yang sukar dibuang.
Perasaan bahagia muncul kerana perbuatan mengintai rakan-rakan dan saudara-mara di fb, serta menjawab pelbagai reaksi dan soalan para fb tidak ada dalam kegiatan harian lagi. Tidak perlu risau lagi untuk memikirkan apakah reaksi pembaca fb. Saya tidak lagi menjadi penagih yang sentiasa bergantung pada fb.
Hari ini, dengan senang hati ingin menguar-uarkan kepada anak-anak dan anak-anak saudara, janganlah bimbang. Tulislah apa-apa sahaja kerana tidak akan ada lagi mata yang akan sentiasa membaca dan mengikuti fb anda, atau berleter panjang jika tidak berkenan dengan apa-apa yang anda tulis atau lakukan.
Saya juga sedang mengecapi rasa amat bahagia yang tenang kerana tidak lagi menyakiti hati orang secara tidak sengaja dengan tulisan-tulisan di fb dan disakiti oleh seseorang.
Hal yang penting ialah suasana yang lebih bahagia dikecapi kini, di samping lapang fikiran kerana tidak perlu lagi sibuk atau dikerubungi dengan cerita atau masalah orang lain yang berlingkaran dan bersimpang siur di fb. Tidak ada lagi serangan migrain atau sakit kepala datang tiba-tiba.
Saya rasa lebih tenang kini. Lega. Saya sudah ada banyak masa merenung awan, mendengar cicipan burung dan melihat rumput di bumi.

Isnin, 7 Mac 2011

Selamat tinggal facebook

Saya telah menutup akaun facebook saya. Ada rasa terganggu sedikit dengan beberapa perkara di fb yang tidak boleh saya ceritakan di sini. Tidak mengapalah, saya rasa agak sedikit bebas tanpa perlu risau dengan mesej dan berita yang dihantar oleh teman-teman dan tanpa perlu menjawab apa-apapun. Saya mahu fokus kembali menulis di blog.
Mungkin apabila hati saya mula tenang dan rindu mula datang pada kawan-kawan di fb, saya akan kembali semula. Hanya masa yang menentukannya. Atau mungkinkah saya tidak akan kembali padanya lagi apabila berasa lebih aman begini.
Menyesal? Mungkin sedikit.

Khamis, 3 Mac 2011

Pertemuan

Saya tidak menyangka dapat bertemu semula dengan rakan-rakan sekolej. Rakan-rakan yang baik, dan ceria serta membentuk saya seperti hari ini.
Sebaik sahaja saya disahkan mengidap limfoma, sejenis kanser darah, harapan untuk berjumpa mereka nampaknya seperti tidak akan kesampaian. Saya terus membiarkan rasa rindu pada mereka jauh di sudut hati. Tambahan pula, rawatan kemo tidak dapat memberi jaminan untuk sembuh sepenuhnya, hanya menunda masa dan membunuh sel kanser yang ada sewajarnya.
Namun kesabaran pada segala yang dihadapi tidak sia-sia. Perancangan diatur dan dengan penuh semangat memastikan sebeberapa ramai yang terdaya dijemput. Selama dua minggu, rancangan menjadi kenyataan dan kami berkumpul di Sambal Hijau. Hampir separuh daripada mereka hadir. Alhamdullilah.
Walaupun keadaan di situ panas dan sempit, dan masa agak terhad, tetapi gelak ketawa, menyingkap kisah-kisah lama di kolej sudah cukup menghiburkan. Wajah-wajah ini walaupun sudah dewasa dimamah usia, masih lagi mengekalkan watak ketika di kolej, penuh aksi lucu dan ceria. Kami jenuh bercerita dengan ketawa, ketawa dan ketawa.
Di dalam hati, saya tidak putus-putus berkata-kata, terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana diberi peluang ini.

Rabu, 2 Mac 2011

Benci

Ya, saya membenarkan anda membenci saya. Benih benci itu boleh dipupuk sedikit demi sedikit. Setelah itu anda boleh menceritakan yang buruk-buruk tentang saya. Kemudian menyebar-nyebarkannya. Anda pasti akan berpuas hati dengan perbuatan itu. Dan saya pun akan mendengarnya dengan penuh perasaan dan tenang. Tentunya saya akan menjejakkan kaki ke bawah(jika saya mula lupa diri) dan melihat diri saya semula. Mengimbas di manakah kekurangan dan sedaya upaya membaikinya.
Sebenarnya saya patut menyatakan penghargaan dan terima kasih kerana anda telah menceritakan keburukan saya dalam kebencian. Saya tidak kisah pun jika perkara yang diceritakan itu tidak semuanya benar.
Jika itulah yang berlaku, bermakna segala masalah boleh selesai. Anda mahu tahu mengapa? Kerana andalah punca sebenarnya masalah itu. Dan apabila wujudnya kebencian itu maka saya dengan mudah boleh mengambil tindakan dan membuat keputusan tanpa perlu memikirkan untuk berbudi bahasa dan mengambil hati.
Terima kasih, ya.

Sabtu, 12 Februari 2011

Misteri

Kamu memang penuh dengan kejutan. Satu demi satu ceritamu tersingkap dengan secara tidak sengaja. Walaupun cuba menutupnya dengan alasan, tetapi akhirnya saya terjumpa juga kisah di sebaliknya.
Kadang-kadang kejutan itu membuat saya rasa takut untuk mengenali kamu dengan lebih lanjut. Sebab yang biasanya saya temui ialah sesuatu yang mengecewakan. Entahlah, bukan hak saya untuk menentukan hidup kamu. Terpulanglah...

Selasa, 8 Februari 2011

Rasa

Reda. Saya tidak terkejut pun dengan keputusan ini. Sedih pun tidak, kecewa pun tidak, gembira pun tidak. Saya kehilangan segala deria rasa. Mungkin yang tinggal hanya sedikit rasa yang cukup terkilan.
Mujur ada sahabat yang sanggup mendengar dan memahami. Itu sudah cukup bagi saya sebab saya sendiri pun tidak tahu apa-apa yang saya rasa atau saya sudah tidak mempunyai apa-apa rasa lagi. Hati dan jiwa ini menjadi kosong hari ini. Minda pun turut dikosongkan sama agar tidak mempengaruhi jiwa.
Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan.
Walau apa-apapun yang berlaku, kita perlu lebih reda kepada-Nya.

Khamis, 3 Februari 2011

Bimbang

Ada kesan-kesan lebam tanpa sebab berlaku beberapa bulan kebelakangan ini. Kadang-kadang bulat dan kadang-kadang pelbagai bentuk. Kadang-kadang biru dan hitam. Kata keluarga, ada kena mengena dengan sesuatu yang berkaitan dengan kuasa asing. Uisk, mengarut, fikir saya. Kini kerap pula demam yang datang bertimpa-timpa. Musim, agaknya. Tetapi yang menghairankan terasa ada sesuatu yang menganggu saya di bahagian pinggang, sesekali menusuk keras. Sejak setahun yang lalu, rasa itu tidak pergi. Dan doktor tidak dapat mengesan apa-apapun di situ. Ya, saya saja yang merasakannya. Khayalan? Tak mungkin.
Akan berulangkah kisah lalu. Ya, saya bimbang. Sungguh.

Ahad, 30 Januari 2011

Sahabat

Sahabat itu unik. Dia akan menerima kita seadanya, tanpa prejudis. Dia juga tidak memandang keburukan kita dan tidak menjadikannya hal utama. Jika menegur dia benar dan jika marah dia beralah.
Susah mahu mencari sahabat sejati yang benar-benar menyukai kita sehingga akhir, menyokong dan membantu kita dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Sahabat sejati bagai cahaya yang menyuluh kita tatkala gelap dan membimbing kita ke jalan benar.
Terima kasih, sahabat.

Jumaat, 28 Januari 2011

Jumaat, 14 Januari 2011

Sukar

Sukar juga untuk meluahkannya, sesukar kata yang mahu dilafazkan. Semuanya terasa tersekat-sekat. Kadang-kadang tidak mahu juga menjelaskan tetapi apabila didesak dan ditolak-tolak, terpaksalah juga menjawabnya. Perlukah itu semua?
Menulis hanya untuk mencurahkan aliran fikiran dan gelojak hati, ke dalam bahasa kreatif. Hanya inilah caranya untuk melega jiwa, melapang minda. Alunannya mudah, memasukkan emosi dan kreativiti sehingga menjadi sesuatu yang boleh dinikmati. Rasa teruja hanya apabila ada orang membacanya dengan suka.
Payahkah untuk dimengerti. Segala tulisan tidaklah bermakna kejadian diri sendiri. Itu hanyalah curahan rasa bercampur kreativiti, meluas makna dan mengangkat bahasa diri.
Kadang-kadang deria rasa, sentuh, pandang dan kata boleh bergabung menjadi satu hasil peribadi, bukanlah cerita yang berkaitan diri. Hapuskanlah prasangka itu. Amat tidak baik dan mampu menyekat perkembangan karyaku. Beratnya boleh menghilangkan kesukaan, sindiran boleh melarakan hati. Cubalah untuk lebih memahami.

Selasa, 4 Januari 2011

Ruang

Ruang-ruang ini perlu diisi kerana kekosongannya memang membosankan. Kadang-kadang kehabisan idea adalah punca utama ketiadaan isi. Atau tidak ada pencetus idea yang boleh menjentik minda, dan bebanan tugas yang bertambah menghentikan perjalanan kreativiti. Ah, itu cuma alasan kosong. Penulis yang baik akan terus menulis dalam apa-apa bentuk keadaan, hatta dalam perang sekalipun.
Tahun ini genap 25 tahun bertugas di sini. Banyak yang dipelajari dan pengalaman ini sudah memadai untuk menghasilkan sesuatu. Tetapi mengapa masih mencari-cari pengisian diri untuk itu?
Saya sudah penat agaknya. Penat dengan dunia manusia yang terlalu banyak kerenahnya. Lelah ini ada kalanya sudah sampai tahap yang menyebabkan pernafasan ini kadangkala rasa seperti tersekat. Tetapi hidup ini perlu juga diteruskan.
Jumaat ini, saya akan mengulangi rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kuatkan hati dan banyakkan doa agar apa-apa yang dialami tidak berulang semula. Walaupun rasa gerun masih ada setiap kali melangkah masuk ke klinik hemotologi, saya perlu sihat untuk terus hidup. Semoga hati saya akan lebih kuat selepas ini.

love

love

love

love