Isnin, 31 Ogos 2009

Merdeka

Kemerdekaan bermakna bebas. Kebebasan bukan setakat lepas daripada genggaman penjajahan sahaja. Kebebasan dan kemerdekaan membawa makna yang lebih mendalam dan maksud yang tersendiri.
Apabila minda anda bebas daripada penjajah, hati anda bebas daripada tekanan dan cengkaman dan hidup anda tidak lagi dikongkong oleh sesuatu, maka anda bebas.
Tetapi kebebasan itu perlulah juga disandari dengan keimanan dan takutkan Tuhan.
Anda rasa bebas? Berhati-hatilah dengan kebebasan itu.
Selamat Hari Merdeka!

Sabtu, 22 Ogos 2009

Ramadhan datang lagi

Hari ini bermulanya bulan yang penuh berkat, Ramadhan. Alhamdullilah, saya dapat bertemu lagi dengan bulan ini. Tahun lepas saya terlepas sepenuhnya untuk menggandakan amalan kerana sedang dalam rawatan . Saya menjalani kemo yang perlu dihabiskan pusingannya. Bukan mudah untuk melupakan getir dan derita sakit ini. Anak-anak dan suami pula terpaksa bersahur tanpa saya dan berbuka juga tanpa saya. Semoga pengalaman yang lalu tidak berulang lagi.
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana saya masih dapat bersama-sama dengan keluarga dan menikmati Ramadhan ini. Ujian yang lalu memberi kesan kepada saya untuk lebih menghargai nikmat kehidupan ini.

Rabu, 19 Ogos 2009

mencandat sotong







Pertama kali saya terlibat dalam kegiatan yang mencabar ini. Mula-mula, saya tidak ada pengalaman langsung tentangnya. Selepas itu saya mabuk laut, terbaring sepanjang 10 jam di dalam bot sambil sebelah tangan memegang tali pancing. Manalah tahu jika umpan saya mengena.



Rupa-rupanya mencandat sotong bukanlah suatu kegiatan yang mudah. Tali pancing perlu sentiasa disentap dan turun naik. Tetapi oleh kerana saya terbaring mabuk, maka saya biarkan sahaja tali pancing itu terjuntai ke dalam laut.



Hasilnya, saya tidak dapat seekor pun sotong pada malam itu. Kumpulan saya mendapat kira-kira 70 ekor. Memang nasib tidak menyebelahi saya langsung. Tidak mengapa, saya akan menunggu musim yang akan datang. Kalaulah saya tidak mabuk laut lagi dan saya datang membawa jala...



Apabila dunia semakin laju...

Anak-anak kini begitu cepat membesar. Pergerakkan mereka turut menjadi pantas dan tangkas. Dua daripada mereka telah meninggalkan rumah untuk mengisi ilmu di dada.
Apabila ke pejabat, saya juga melihat wajah-wajah rakan yang membesar bersama-sama, satu demi satu meninggalkan dunia kerjaya. Saya kini menyaksikan anak-anak generasi baru muncul dengan semangat yang berkobar-kobar dan idea baru yang pelbagai. Pelapis kami.
Dunia kini tiada lagi sempadan, internet menjadikan manusia semakin dekat dan pantas.
Dan saya terasa begitu letih untuk mengejar kepantasan itu. Atau sayakah yang semakin perlahan dalam dunia yang semakin laju....

Isnin, 17 Ogos 2009

mencapai bulan...

Apabila melihat bulan di langit
gemilangnya memancar terang
Ingin kakiku menjejak awan
menari-nari dalam kebebasan
di bawah sinaran yang menggembirakan

Ah, yang kufikirkan cuma angan-angan
sekadar cahayanya yang kudapat
itupun jika tidak dilindungi awan...

Selasa, 11 Ogos 2009

Halimah Ahmad

Semalam, 10 Ogos 2009, saya kehilangan seorang lagi rakan sekerja. Allahyarhamah Halimah, pakar dalam bidangnya dan rajin bekerja. Wajahnya sentiasa ceria, peramah dan memang gemar ketawa. Ceritanya sentiasa disambut dengan gelak ketawa kami.
Rupa-rupanya di sebalik ketawa itu, allahyarhamah menyimpan sebuah rahsia duka. Allahyarhamah menderita sakit buah pinggang dan pada setiap minggu berulang ke hospital untuk mencuci darah atau membuat dialisis. Dan hal ini telah menjadi rutinnya bertahun-tahun lamanya. Kali terakhir, beliau ke China untuk mendapatkan buah pinggang baharu.
Saya kini kehilangan suaranya, tawanya dan jenakanya. Semoga allahyarham
dirahmati Allah swt dan ditempatkan di dalam golongan yang beriman.
Alfatihah untuknya.

Selasa, 4 Ogos 2009

Eeeeee....

Saya tidak sempat menjawab deringan pertama di telefon bimbit. Selepas satu jam kemudian saya pun memanggil semula rakan saya yang menelefon itu. Tertera nama Selina, di dalamnya.
"Selina telefon saya?"
"Siapa ni?"
"Sayalah, Ton." jawab saya.
"Saya telefon? Tak ada rasanya," katanya lagi.
"Nombor Selina tertera di telefon saya, sejam tadi," saya mula hairan.
"Betul, saya tidak telefon. Saya tidak ada nombor telefon Ton pun," Selina menjawab balik.
Laaa, habis siapa pula yang telefon?
Eeeeeee......

love

love

love

love