Selasa, 30 Disember 2008

Pertemuan denganNya

Kematian? Sesuatu yang sukar untuk dibincangkan. Saya rasa terhentak ketika diberitahu ada kanser di dalam saya. Ketika itu bayangan kematian menyusul datang. Sama ada sudah bersedia atau tidak, setiap manusia pasti akan menghadapinya. Walaupun kemungkinannya saya tidak akan menghadapi kematian dengan penyakit kronik ini tetapi amaran yang datang ini mengingatkan saya supaya lebih memberi perhatian kepadaNya. Saya bersyukur amaran ini datang lebih awal. Saya hanya perlu meneruskan hidup dengan lebih banyak bersyukur dengan segala nikmat yang diberikanNya, sentiasa mengingatiNya, serta belajar untuk lebih dekat denganNya. Sehinggalah saya diambil mengadapNya. Bila? Hanya Allah swt yang menentukannya.

Khamis, 18 Disember 2008

Kisah kanser 1

Saya membuka blog ini untuk mencatatkan pengalaman dan perasaan saya sebagai pesakit kanser. Tetapi saya mengambil masa yang agak lama untuk mencatatkannya kerana saya tidak dapat memikirkan dan memilih ayat yang sesuai untuk menceritakannya.

Setelah berfikir-fikir lama dan mendapat nasihat teman-teman baik, saya akhirnya memilih rawatan kemoterapi. Saya bersedia untuk menerima risiko apabila toksid disalurkan ke dalam badan saya bagi membunuh sisa sel-sel kanser yang masih ada, juga sel-sel sihat. Rawatan ini juga boleh mengakibatkan banyak kesan negatif, saya akan kekurangan daya tahan badan, mudah diserang jangkitan dan kemungkinan organ-organ penting di dalam badan akan turut rosak.

Terlalu banyak derita dan airmata yang tercurah ketika dirawat. Saya merasakan begitu sukar untuk meluahkannya. Apatah lagi apabila berhadapan dengan keluarga dan kawan-kawan yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan saya. Ketika rawatan kemoterapi pertama berlangsung, saya langsung tidak berdaya untuk mengadap komputer dan mengemaskini blog ini.

Saya perlu kuat! Itu sahaja yang saya katakan kepada diri saya berulang-ulang setiap hari. Saya tidak mahu sama sekali membenarkan anak-anak melihat saya berada di dalam keadaan lemah. Saya juga tidak mahu menghampakan rakan-rakan, sama ada yang berada di sekeliling atau yang tiba-tiba muncul memberikan semangat tanpa putus-putus. Kasih sayang inilah yang memberikan kekuatan untuk terus melawan kesakitan ini.

Dan kepada Allah S.W.T sahajalah saya menyerahkan jiwa ini. Saya bersyukur kerana diberi ujian yang cukup kecil ini jika dibandingkan dengan limpahan nikmat yang diberikanNya sebelum ini. Saya reda.

Masalah berbahasa yang aneh..

Perbahasan tentang penggunaan bahasa Inggeris di dalam subjek Matematik dan Sains di sekolah-sekolah semakin panas. Tujuan utamanya adalah kononnya bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu di dunia dan atas sebab itu bahasa ini perlu dikuasai oleh para pelajar.
Anehnya mereka tidak langsung menyentuh mengapa kelemahan itu berlaku? Apakah kewajarannya belajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris itu boleh meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.
Bukankah bahasa Inggeris turut diajar sebagai salah satu subjek di sekolah. Jika pelajar lemah di dalam bahasa Inggeris, bermakna sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi kelemahan itu melalui subjek ini. Sehingga sekarang ini saya masih tidak faham mengapa dua subjek lain yang tidak ada kena mengena dengan kemahiran berbahasa digunakan untuk mengatasi masalah ini. Jika benarlah bahasa Inggeris itu begitu penting mengapa tidak subjek bahasa Inggeris sahaja yang dipulihkan untuk mengatasi masalah ini? Aneh ya?

love

love

love

love