Isnin, 5 Januari 2009

Imbauan igauan

Di cuti yang lalu, saya menelusuri kota ini sambil mengimbau kembali masa-masa lampau, cuba mencari-cari sisa zaman remaja, sambil menghidu pawana yang selalunya menyisir rambut ini. Ah, masih ada sisa rindu lama yang wujud di sini.
Jejak zaman sekolah masih kekal di ingatan tetapi tidak lagi di jalan ini. Semuanya ketara berubah. Jalan semakin besar dan banyak bangunan baru menggapai awan. Di sini, di tepi sungai, bekas kota belanda yang merah masih tegap, binaan kincir berdiri sergam di sudutnya. Di tepi laut yang sudah ditambak ini kini dipenuhi dengan kota-kota moden, malah padang pahlawannya, tempat Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan, juga sudah ada "shopping complex" yang penuh nama asing di atasnya. Eye of Malaysia terpacak di tepi laut dan tiang Taming Sari boleh membawa manusia ke atas, menyaksikan Melaka kini memang sudah terlalu berubah banyak di depan mata. Arus moden (barat?)sudah melanda.
Lagu-lagu dondang sayang, ulek mayang, atau lagu asli Siti Norhaliza yang sepatutnya menghiasi halwa telinga digantikan dengan bingitan lagu Britney Spears dan David Cook di kawasan ini. Semuanya terpasang kuat. Anak-anak berebut membeli french fries, chicken nugget dan kepak ayam serta minum pepsi cola di tepian bulatan buaian yang berpusing-pusing tinggi.
Saya tidak pula melihat seorang pun pelawat yang bermata biru, berambut perang dan berkulit putih berlegar di situ. Ratusan manusia di situ kebanyakannya bersawo matang atau berkulit putih kuning, bersama-sama keluarga menghabiskan cuti yang panjang.
Di manakah saya kini?. Lalu saya berpusing-pusing mencari jalan asal yang selalu saya lalui dahulu. Saya terus dilanda rindu.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa boleh buat, datuk pun bagi pada Shah Rukh Khan.. Aku lagi pening bila ke Melaka.

Denanz ... berkata...

selamat kembali bertugas kak ton. suka tengok kak ton. makin comel dan langsing. haha.

Lily Haslina Nasir berkata...

Masa kita belum sekolah, kat situ ada India jual kacang putih. Dia junjung kotak kacang dia sambil menjaja

AMARUSZATI NOOR RAHIM berkata...

salam, kak tun. ini kali pertama saya bertandang ke sini tetapi saya membaca entry dari mula kak tun menukang rumah ini. ada rasa akrab, rasa rindu...sudah lama tidak ketemu. semoga sama-sama kita beroleh kekuatan dariNya, amin

love

love

love

love