Isnin, 22 Jun 2009

Semuanya serupa

Anak-anak baharu sahaja balik dari masjid, menghadiri solat Jumaat. Kali ini tempatnya berlainan. Masjidnya juga berbeza daripada tempat biasa. Suasana dan jemaah juga tidak seperti yang lazim.
Riuh rendah mereka bercerita, sambil mengelap peluh akibat cuaca yang panas.
"Dalam khutbah, dia kata kita jangan mengutuk orang. Tapi mereka mengutuk lagi teruk." Anak yang seorang ini kelihatan masih terkejut.
"Bukan setakat mengutuk, tapi maki hamun. Mengutuk dalam masjid pulak tu," cerita yang seorang lagi sambil menggeleng kepala, tanda tidak puas hati.
"Dahsyat betul," komen anak yang awal tadi.
"Saya tak pernah dengar khutbah yang seteruk begini. Ishhh...." Anak ini masih tidak berpuas hati. "Buruk betul mereka menghentam lawan," sambungnya lagi.
Saya hanya menjadi pendengar yang diam dalam senyum. Kadang-kadang ada baiknya jika anak-anak semuda ini didedahkan dengan dunia yang sebenar. Selama ini mereka diselindungi, hanya melihat yang muluk, menyaksikan manusia yang suka bermain kata-kata tetapi tidak bertanggungjawab dengan kata-kata mereka.
Harap-harap anak-anak saya ini sudah boleh berfikir setelah mengalami peristiwa ini. Politik ini kotor. Permainan ini adalah untuk orang yang berkata apa-apa sahaja yang dianggap akan menguntungkan dirinya dan kumpulannya. Baik daripada pihak lawan atau pihak yang satu lagi, semuanya serupa.

Tiada ulasan:

love

love

love

love